TANAH RATA – Calon Pakatan Harapan(PH), M. Manogaran melahirkan rasa gerun untuk mengeluarkan dompet walaupun bagi membayar makanan sendiri termasuk di warung-warung kecil.
Katanya, beliau tidak pasti sekiranya ketika dompet dikeluarkan ada pihak tertentu merakamkan gambar tersebut sebelum memuat naik dalam laman sosial dengan kaspyen yang mengelirukan.
“Saya hendak keluar dompet di kedai-kedai kecil pun takut, untuk bayar makanan anda-anda juga Saya takut. Nanti keluar pula macam-macam cerita cubaan beli undi pula.
“Siapa rakam apa dan bila saya tidak pasti langsung. Kena hati-hati walaupun pakai wang untuk beli makanan sendiri,” katanya tadi.
Manogaran juga mendedahkan kenduri rakyat yang dirancangnya sebelum ini malam nanti juga telah dibatalkan.
Kata beliau, tidak akan ada sebarang penganjuran makan-makan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini sepanjang kempen.
Penganjuran ‘kenduri rakyat’ yang dijadualkan pada malam ini di Sg Koyan juga telah dibatalkan.
“Saya tidak fikir akan ada sebarang penganjuran makan-makan untuk rakyat sepanjang kempen ini. Kalau ada, saya tidak tahu juga.
“Malam ini? Saya tidak tahu. Ianya sudah dibatalkan. Sudah dibatalkan, tiada kenduri malam ini atau malam-malam akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Manogaran turut memohon kepada umum khasnya media agar dapat ‘move on’ daripada terus berbicara berhubung isu ini.
“Saya sudah cakap dengan jentera, ‘strictly no’. Kita juga perlu ‘move on’ daripada isu ini sebenarnya. Banyak lagi isu dan kerja yang perlu di lakukan daripada bercakap tentang isu ini,” ujarnya.
Sebelum ini, bekas penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivarrajh Chandran di batalkan kemenangan selepas tujuh bulan kerana wujudnya elemen rasuah ketika memberikan makan serta kenduri kepada warga asing pada musim kempen Pilihan Raya Umum -14 lepas.
Petisyen yang dibawakan oleh Manogaran sendiri bagi membatalkan kemenangan itu akhirnya berjaya apabila Mahkamah Pilihan Raya mengakui adanya elemen rasuah warga Asli bagi mendapatkan undi sebelum ini.
Isu rasuah ini juga terus menjadi sebutan apabila baru-baru ini ada wujud rasa tidak senang dengan tindakan jentera Manogaran mengagihkan duit minyak antara RM50 dan RM20 kepada ‘sukarelawan’ warga asing pada hari penamaan calon Sabtu lepas. -MalaysiaGazette