Home Nasional SPRM kena siasat Kit Siang isu wang petrol

SPRM kena siasat Kit Siang isu wang petrol

Datuk C. Sivarraajh

PUTRAJAYA – Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengakui individu yang berbaju Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada Orang Asli di Cameron Highlands baru-baru ini sebagai bayaran balik kos petrol para sukarelawan.

Jadi, selain gambar yang tular, kenyataan Kit Siang itu boleh dijadikan bukti untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarrajh.

Beliau juga hari inii membuat laporan di SPRM berhubung dakwaan wujudnya politik wang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di parlimen itu yang bermula pada 13 Januari lalu.

Sivarrajh yang juga Naib Presiden MIC itu menambah, gambar pemberian wang oleh wakil atau ejen calon DAP yang tular di media sosial kini juga perlu dijadikan bahan bukti dan perlu disiasat oleh SPRM.

“Laporan yang dibuat oleh saya ini kerana ingin mencari keadilan apabila pemberian wang itu sama dengan kes saya di mahkamah hingga dilucutkan jawatan sebagai ahli parlimen.

“Malah hakim kes saya turut menyebut pemberian wang petrol atau rokok tetap dikira rasuah.

“Jadi saya menjadi mangsa kerana petisyen yang dibuat calon DAP sebelum ini hanya cakap-cakap tetapi kempen ketika ini gambar pemberian wang sudah menjadi viral dan diakui sendiri oleh Kit Siang,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

MGF15012019_DATUK C.SIVARAAJH DAN DS ABDUL AZEEZ RAHIM SPRM08
Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh bercakap kepada media ketika hadir untuk membuat laporan dakwaan salah laku di bawah Akta Pilihanraya calon DAP Cameron Highlands, Manogaran di PRU14 dan di PRK Cameron Highlands di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 15 JANUARI 2019

Kempen PRK Cameron Highlands ketika menjadi kontroversi apabila gambar tular seorang individu memakai baju berlogo Pakatan Harapan mengagihkan wang kepada beberapa individu lain.

Kit Siang mengakui individu berkenaan adalah seorang sukarelawan Impian Malaysia dan wang yang diagihkan itu adalah bayaran balik kos petrol para sukarelawan.

PRK parlimen itu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor berdepan dengan tiga lawan dalam saingan empat penjuru pada PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Ramli ditentang oleh calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas calon parlimen itu pada  PRU-14, M. Manogaran serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.

Oleh itu, Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi parlimen itu. – MalaysiaGazette

Bayar RM20 kepada 60 Orang Asli bukan beli undi, kata Kit Siang