PEKAN – Pemasyhuran Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang yang keenam hari ini menguatkan lagi ramalan baginda akan dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong baharu.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemasyhuran Sultan Abdullah itu ia jelas menunjukan rakyat Malaysia bakal bernaung dibawah payung raja dari negeri Pahang.
“Saya rasa ramai orang berdoa supaya perkara ini menjadi kenyataan dan hakikatnya hari ini berlangsungnya pemasyhuran seperti menuju ke arah tersebut.
“Kerajaan persekutuan ikut sahaja kerana itu ikut pilihan yang akan dibuat oleh Raja-Raja Melayu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas istiadat Pemasyhuran Sultan Abdullah di Istana Abu Bakar di sini hari ini.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota yakin rakyat Pahang sendiri sememangnya mendoakan agar sultan mereka dilantik menjadi Yang diPertuan Agong.
“Dan kalau ikut turutan memang giliran Sultan Abdullah untuk pegang jawatan yang diPertuan Agong. Rakyat Pahang dah tentu akan berbangga dan itu sudah semestinya,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin Sultan Abdullah dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang sultan yang adil untuk rakyat Pahang.
Katanya, beliau yang secara peribadi mengenali Sultan Abdullah sejak 30 tahun lalu melihat baginda akan diterima rakyat di negeri itu secara keseluruhannya ekoran telah menunjukkan sikap mengasihi dan selalu mendampingi rakyat.
“Setelah sekian lama kini, tuanku mewarisi takhta kerajaan Pahang dan sudah tentu saya sebagai kenalan tuanku rasa amat gembira dan saya cukup yakin sebagai seorang raja muda bertenaga, baginda akan sentiasa mendampingi rakyat.
“Pemasyhuran ini dapat memberi kebahagiaan kepada seluruh rakyat Pahang,” ujarnya. – MalaysiaGazette