BESUT – Mayat suspek kes cubaan samun yang dikatakan terjun ke Sungai Besut dua hari lepas ditemukan pukul 8.42 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Hanaffi Mohd berkata, mayat lelaki berusia 45 tahun itu dijumpai pada jarak tiga meter oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari lokasi dia dilihat hampir lemas oleh penduduk kampung.
“Keadaan awal pagi dan air sungai yang tenang memudahkan pasukan penyelamat membuat pencarian dan dalam tempoh 24 jam pencarian, kita berjaya menemuinya dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Suspek sebelum ini dilaporkan cuba menyamun seorang wanita warga emas berusia 62 tahun yang merupakan penternak lembu di Kampung Dengir, di sini dan bertindak melarikan diri selepas mangsa menjerit meminta pertolongan. – MalaysiaGazette