Home Dunia Kru, kakitangan Malindo Air ditahan terlibat sindiket seludup dadah ke Australia

Kru, kakitangan Malindo Air ditahan terlibat sindiket seludup dadah ke Australia

Gambar hiasan

SYDNEY – Dua kakitangan syarikat penerbangan antarabangsa didakwa menyeludup heroin dan ice (methamphetamine) ke Sydney dan Melbourne.

Mereka adalah sebahagian daripada ahli sindiket penyeludupan utama dadah yang telah beroperasi sejak sekian lama, kata pihak berkuasa

Kru kabin wanita Malindo Air dan seorang kakitangan syarikat penerbangan itu merupakan antara lapan orang yang ditahan di Melbourne semalam, lapor AAP.

Pihak berkuasa mendakwa sindiket jenayah terancang yang berpengkalan di Vietnam membawa masuk heroin dan methamphetamine gred tinggi bernilai A$20 juta dari Malaysia.

Kedua-dua kakitangan syarikat penerbangan tersebut didakwa menyembunyikan dadah tersebut dalam tubuh masing-masing, dengan seorang daripadanya memberitahu pihak berkuasa ia merupakan kali ke-20 mereka melakukannya.

Para pegawai merampas enam kilogram heroin bernilai A$14.5 juta di pasaran, lapan kilogram methamphetamine bernilai A$6.4 juta dan setengah kilogram kokain semasa serbuan dilakukan di tujuh premis di Melbourne.

Para penyiasat juga merampas sebuah kereta Porsche Macan dan Mini Cooper selain wang tunai.

Penolong Pesuruhjaya Polis Victoria, Tess Walsh berkata, sindiket terancang itu telah beroperasi lebih lima tahun.

“Ia adalah rampasan yang signifikan tetapi saya berpendapat realitinya boleh dikatakan ia bukannya jumlah dadah sindiket ini telah bawa masuk ke negara ini,” katanya.

Penyeludupan dadah ke Australia dilakukan menerusi Melbourne dan Sydney.

Dua orang yang didakwa adalah ahli sindiket utama yang berpengkalan di Australia manakala bakinya adalah warga Australia berketurunan Vietnam dan warga asing lain.

Komander polis persekutuan, Amanda Kates berkata, siasatan masih dijalankan dengan soal siasat dilakukan di Malaysia dan Australia.

“Kami mengetahui mengenai sindiket ini untuk jangka masa yang lama tetapi siasatan kami tidak membuahkan hasil. Hanya lima bulan lalu menunjukkan mungkin krew kabin terlibat,” katanya.

Sejak lapan hari lalu premis di kawasan Richmond, Southbank, Abbotsford, Sunshine North dan Melbourne diserbu.

Empat orang wanita dan empat orang lelaki didakwa di mahkamah majistret Melbourne dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada Mei ini. – Agensi