Home Utama Nelayan bersumpah dengan al-Quran, nampak MH370 terbakar

Nelayan bersumpah dengan al-Quran, nampak MH370 terbakar

Saksi, Rosli Kusmin, 42 bercakap pada sidang media Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mengenai saksi dari Indonesia yang telah menyaksikan kemalangan pesawat MH370 akan bersumpah dengan Al-Quran mengaku bahawa mereka telah menyaksikan sendiri kejadian itu berlaku di perairan Sumatera dan hadir bersama bukti yang ada setakat ini di Lake View Club, Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2019

SUBANG JAYA – Seorang nelayan warga Indonesia, Rosli Kusmin bersumpah dengan al-Quran bahawa dia ternampak sebuah pesawat yang dipercayai MH370 terbakar dan kemudiannya mendarat di permukaan air sebelum tenggelam berhampiran Selat Melaka dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi WIB pada 9 Mac 2014.

Menurut Rosli, dia bersama tiga awak-awak sedang mencari ikan di kawasan perairan Sumatera berhampiran Selat Melaka sebelum terlihat sebuah pesawat yang diselubungi asap tebal sedang terbang dalam keadaan teroleng-oleng dan mendarat dengan perlahan di atas air kira-kira tiga kilometer dari botnya.

“Saya ketika itu sedang bekerja tetapi apabila melihat kejadiaan tersebut, saya cepat-cepat menaikkan bubu ikan dan prosesnya memakan masa kira-kira 15 minit.

“Perjalanan untuk sampai ke kawasan kapal terbang berkenaan pula adalah kira-kira 15 minit tetapi apabila kami tiba, badan pesawat sudah tidak kelihatan lagi.

“Apa yang tinggal hanyalah asap tebal yang berbau busuk seperti asid datang dari bawah laut.

“Kami cuba mencari tetapi tidak berjumpa apa-apa serpihan tetapi alat mengesan lubuk ikan yang dipasang pada bot dapat menangkap satu imej seperti kapal terbang di bawah laut. Kami juga merekodkan kordinat GPS pada kawasan tersebut,” katanya sambil memegang al-Quran semasa sidang media di sini hari ini.

 

MGF16012019_PC Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA)_13
Saksi, Rosli Kusmin, 42 bergambar bersama alat navigasi GPS pada sidang media Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mengenai saksi dari Indonesia yang telah menyaksikan kemalangan pesawat MH370 akan bersumpah dengan Al-Quran mengaku bahawa mereka telah menyaksikan sendiri kejadian itu berlaku di perairan Sumatera dan hadir bersama bukti yang ada setakat ini di Lake View Club, Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2019

Rosli diterbangkan khas dari Indonesia oleh Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) untuk memberi kenyataan kepada media mengenai insiden yang dilihatnya kira-kira lima tahun lalu.

Menurut Presiden CASSA, Datuk Jacob George, bukti-bukti yang diperolehi daripada Rosli dan juga hasil siasatan persendirian beliau bersama pakar-pakar lain akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan dalam tempoh 10 hari lagi.

“Pencarian MH370 tidak pernah dilakukan di kawasan tersebut dan saya rasa inilah masanya kita melakukan pencarian di situ kerana kita mempunyai maklumat baharu.

“Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bergantung kepada naratif yang diberikan oleh Barat.

“Berdasarkan kenyataan Rosli, adalah logik apabila dia terhidu bau asap seperti asid kerana pesawat berkenaan membawa bateri lithium dan cara pendaratannya menjawab persoalan mengapa tiada serpihan ditemui terapung pada hari kejadian.

“Saya harap kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa petugas khas untuk pergi ke kawasan tersebut, semoga ia akan memberi penamat kepada keluarga mangsa,” katanya yang turut hadir di sidang media tersebut.

Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014. – MalaysiaGazette