Home Nasional Kenaikan tarif tak beban jika SPAN tidak tambah margin untung

Kenaikan tarif tak beban jika SPAN tidak tambah margin untung

KUALA LUMPUR – Kos kenaikan tarif air tidak akan membebankan pengguna sekiranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telus dalam melaksanakan pelarasan.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) berkata, pelaksanaan pelarasan itu adalah seperti yang dipersetujui melalui audit dan penanda aras yang ditetapkan dan bukan mengguna pakai kaedah ‘kos tambah margin keuntungan’.

Presidennya, Piarapakaran S berkata, selagi proses ini tidak ikut prosedur yang sepatutnya, ia akan membebankan semua pihak.

Beliau berkata, sebenarnya apa yang berlaku sekarang adalah pelarasan tarif dan bukannya proses kenaikan tarif.

“Dalam proses pelarasan tarif input-input kos rawatan dan bekalan air akan ditanda aras berdasarkan prinsip-prinsip kos terendah kepada tarif, yang mana proses tersebut input-input akan turun, kekal atau naik.

“Malah, proses pelarasan tarif yang diselaraskan bersama-sama negeri-negeri di Semenanjung dan Labuan, kualiti air, kecekapan proses perawatan dan bekalan air serta tahap perkhidmatan akan dikawal selia dan diberi tanda aras.

“Ia adalah dasar yang telah dipersetujui sejak tahun 2009 lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika mengulas mengenai kenaikan tarif air di beberapa negeri tidak lama lagi.

Piarapakaran menambah, syarikat air gagal menepati Indeks Prestasi Utama (KPI), mereka akan di denda dalam proses pelarasan tarif seterusnya.

Beliau juga tidak menafikan kos perawatan, operasi, bekalan serta perkhidmatan air berubah-ubah dan berbeza-beza bagi setiap negeri.

Lantaran itu, SPAN perlu melakukan audit dan proses penanda aras untuk memastikan ketepatan dakwaan-dakwaan bahawa kos telah meningkat.

“Proses pelarasan tarif bagi seluruh negara akan diselaraskan untuk memudahkan pembangunan ekonomi kerana kita tidak mahu pelabur dikejutkan dengan pengumuman kenaikan tarif pada masa yang berbeza-beza.

“Ini tidak bermaksud semua tarif diseragamkan menjadi satu tanda harga. Setiap negeri mempunyai komponen kos berbeza dan tidak mungkin diseragamkan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette