Home Politik Tiada jaminan isu tanah selesai jika Manogaran menang

Tiada jaminan isu tanah selesai jika Manogaran menang

Mohd Farid Mohd Noor
Mohd Farid Mohd Nor

TANAH RATA – Tiada jaminan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron boleh menyelesaikan isu tanah yang membelenggu pengusaha kebun saban tahun.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pahang, Mohd Farid Mohd Noor sebaliknya berkata, bidang kuasa tanah terletak di bawah Kerajaan Negeri Pahang yang kini dikuasai oleh BN.

Beliau berkata, sekiranya Manogaran memenangi kerusi P078 pada 26 Januari ini, wakil DAP itu hanya boleh membawa permasalahan rakyat selain isu tanah di peringkat Parlimen sahaja dan bukannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Apabila pilihan raya ini dilakukan di peringkat Parlimen, saya tak nampak bagaimana sekiranya calon dari PH dipilih dia boleh membantu menyelesaikan isu tanah.

“Ini kerana kalau berada di Parlimen, dia tiada sentuhan kepada kuasa tanah yang sepatutnnya dibawa dalam persidangan DUN Pahang,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Sebelum ini, pekebun-pekebun tanah pertanian di Cameron Highlands menuntut agar Kerajaan Negeri Pahang mengkaji semula pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang perlu diperbaharui setiap tahun.

Malah sebelum ini juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin menggesa Kerajaan Negeri Pahang agar menyelesaikan masalah tanah termasuk memperkenalkan sistem pajakan tanah untuk tempoh 30 tahun.

Mohd Farid yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis berkata, walaupun wakil PH di DUN Tanah Rata pernah membawa isu tanah itu ke sidang DUN Pahang sebelum ini, penyelesaian itu lebih awal dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

“Baru-baru ini Kerajaan Negeri Pahang telah beri permit kepada 51 peneroka tanah haram dalam kawasan yang digazetkan sebagai hutan simpan tapi atas ihsan kerajaan negeri kita bagi permit itu.

“Ketika kita bagi permit itu, kita tak tahu pun akan berlaku PRK Cameron Highlands dan saya dimaklumkan pejabat Menteri Besar Pahang bahawa ada banyak lagi permit seperti ini akan diluluskan.

“Kerajaan Negeri tak nak menghalang mereka yang nak mengusahakan tanah tersebut dan pada masa sama kerajaan negeri tak nak kehilangan hasil.

“Jadi permit diberikan dan sudah tentu ia bersifat sementara di mana perlu diperbaharui berdasarkan tempoh masa yang telah ditetapkan TOL,” katanya.

Mohd Farid juga berkata, kebanyakan tanah di Cameron Highlands tidak diberi pemilikan secara tetap atau geran dan kebanyakan pengusahan tanah pertanian ini diberikan TOL.

“Kebanyakan pekebun-pekebun ini sebelum ini meneroka tanah-tanah ini tanpa kebenaran. Sekiranya kawasan tersebut tiada dalam perancangan untuk pembangunan atau bukan kawasan tadahan air, Insya-Allah proses untuk memberi TOL itu boleh dilaksanakan.

“Cuma mungkin memakan sedikit masa, sebab isu tanah di Cameron Highlands ini kompleks, kadang-kala atas sebidang tanah ada beberapa pihak menuntut dan mendakwa tanah itu diusahakan oleh mereka.

“Jadi memang memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan, mengenal pasti siapa pengusaha sebenar, siapa yang datang kemudian atau cuba dakwa itu hak mereka supaya tidak menimbulkan masalah pada masa akan datang,” katanya.

Katanya lagi, pemberian pemilikan tanah di Cameron Highlands juga perlu dikawal kerajaan negeri daripada sebarang pembangunan tidak terancang dan tanpa kawalan bagi mengelakkan kawasan tadahan air hujan terjejas.

“Cameron Highlands ini terletak di hulu Pahang, sebahagian besarnya merupakan kawasan tadahan air.

“Pembangunan tanpa kawalan ianya boleh menjejaskan bukan setakat Pahang bahkan negeri-negeri berhampiran seperti Kelantan dan Perak.

“Kebanyakan sungai mengalir di Pahang ini berpunca dari Cameron Highlands, jadi kawalan di kawasan ini sangat penting,” katanya.

Beliau turut berkata, bagi menyelesaikan masalah tanah, Pergerakan Pemuda BN Pahang berperanan sebagai jambatan untuk menghubungkan antara pekebun dan agensi yang berkaitan.

“Dengan hubungan baik dan hubungan kerja, kita cuba selesaikan perkara ini satu demi satu kes demi kes dan itulah yang Menteri Besar Pahang selalu ingatkan saya.

“Orang melihat Cameron Highlands ini tanah tinggi dan tanah kebun sayur semata-mata, tetapi sebenarnya di setiap tapak itu ada masalahnya yang berbeza-beza, kadang-kala tanah itu milik kerajaan.

“Kerajaan sudah merancang untuk membuat pembangunan pada masa akan datang, ada sesetengahnya di atas tapak yang milik swasta, jadi perkara ini yang dilihat oleh kerajaan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette