Trio emas Paralimpik negara yang mencipta sejarah dalam temasya sukan Paralimpik Rio 2016 diberi pengiktirafan sangat tinggi oleh Pos Malaysia Berhad apabila pencapaian mereka itu diabadikan menerusi koleksi setem “Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016 hari ini.
Atlet berkenaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly terkejut dengan pengiktirafan seumpama itu dan menyifatkan penghargaan tertinggi oleh Pos Malaysia itu di luar jangkaan masing-masing.
“Saya rasa sangat bertuah dan berbangga kerana kami bertiga dipilih. Ia satu penghargaan terbesar dalam hidup saya yang tidak akan dapat lupakan selama-lamanya.
“Biasanya ada peraturan iaitu hanya wajah-wajah tokoh pemimpin, pembesar dan Raja-Raja Melayu sahaja yang boleh dicetak dalam setem keluaran khas.
“Tetapi muka kami bertiga dikeluarkan dalam bentuk gambar sebagai setem khas selain sampul surat khas, tiada kata-kata,” kata atlet F20 Lontar Peluru yang memegang rekod dunia lontaran 17 meter kepada MalaysiaGazette di sini.
Ziyad turut menghadiahkan pengiktirafan itu kepada ibu bapa dan semua individu termasuk pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang menyumbang kepada segala kejayaannya selama ini.
“Saya akan mengekalkan momentum kesukanan dan harap mencatatkan lagi rekod dunia dalam temasya Sukan SEA dan Para Asean yangberbaki sembilan bulan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pula memanjangkan setinggi tinggi kesyukuran kepada Pos Malaysia ke atas inisiatif ikhlas untuk mengiktiraf trio emas yang mengharumkan nama negara.
“Saya bangga dengan Pos Malaysia dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana memberi pengecualian untuk mencetak wajah tiga atlet emas Paralimpik di atas setem.
‘Sebenarnya peraturan tidak membernarkan wajah gambar sebenar seseorang individu dicetak atas setem kecuali ketua pemimpin negara, pembesar atau Raja-Raja Melayu.
“Apa yang dapat saksikan hari ini satu penghormatan sangat besar yang diberikan kepada Ridzun, Ziyad dan Abdul Latif yang sebenarnya tidak diberikan kepada orang biasa lain, dan saya pasti setem dan sampul khas ini menjdi koleksi terpahat dalam bukan sahaja Pos Malaysia sendiri tetapi sejarah negara dan dunia,” katanya. – Malaysia Gazette