Home Politik MP u-turn: Pemuda UMNO serah MT buat keputusan

MP u-turn: Pemuda UMNO serah MT buat keputusan

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Biar Majlis Tertinggi (MT) UMNO buat keputusan mengenai hasrat enam ahli parlimen yang membuat pusingan u dan mahu kembali, kata Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata,  langkah tersebut dibuat ekoran hanya MT sahaja yang mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak permohonan mereka.

Menurut beliau, UMNO merupakan sebuah parti keramat yang berprinsip dan pemimpin yang mengemudinya boleh datang dan pergi.

“Kita Pergerakan Pemuda pun tak bincang tadi dalam mesyuarat. Pemimpin boleh datang dan pergi, yang paling penting ialah parti yang harus kita uruskan supaya parti dapat terus menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO kali pertama 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, keputusan yang akan dibuat oleh MT itu nanti perlulah mengambil kira suara peringkat akar umbi.

Keenam-enam ahli parlimen yang kini menjadi wakil rakyat bebas meninggalkan UMNO pada 14 Disember lalu iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Tiga lagi ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. – MalaysiaGazette

UMNO belum buat keputusan terima bekas enam wakil rakyat