Home Utama Saya jaga Sultan Abdullah sejak dia usia 3 hari – pengasuh

Saya jaga Sultan Abdullah sejak dia usia 3 hari – pengasuh

Bekas pengasuh Sultan Pahang, Hashimah Mat Ali menunjukkan gambarnya dengan Sultan Pahang semasa temubual bersama Malaysia Gazette di Jalan Tok Tuan, Pekan Pahang. foto FAREEZ FADZIL 16 JANUARI 2019

PEKAN – Sultan Pahang keenam, Sultan Abdullah yang merupakan putera sulung Sultan Ahmad Shah sejak kecil diasuh oleh seorang wanita yang merupakan penduduk di daerah Pekan.

Hashimah Mad Ali, 84, adalah pengasuh kepada Sultan Ahmad sejak berusia tiga hari sehinggalah umurnya meningkat tujuh tahun.

Ketika ditemui Malaysia Gazette, wanita yang sudah mencapai usia warga emas itu menceritakan, Sultan Abdullah atau gelaran rasminya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah merupakan seorang yang sangat baik dan bijak.

Katanya, sejak kecil, baginda senang dijaga tidak seperti kanak-kanak lain yang kebiasanya memiliki banyak kerenah pada usia mereka bawah lima tahun.

Hashimah yang dipanggil oleh Sultan Abdullah sebagai Mak cik Shimah berkata, Sultan Abdullah merupakan satu-satunya anak Sultan Ahmad yang diasuh olehnya kerana anak-anak baginda yang lain masing-masing diasuh oleh pengasuh berbeza.

“Saya mengasuh dia (baginda) sejak umur dia tiga hari. Masa itu saya tinggal di Istana Mangga Tunggal yang terletak di Pekan ini.

“Saya jaga dia sehingga dia bersekolah. Masa itu umur dia tujuh tahun,” katanya.

Menurut Hashimah, ketika menjadi pengasuh kepada Sultan Abdullah umurnya pada masa itu berusia 20 tahun dan belum lagi berumahtangga.

Selepas usia baginda tujuh tahun barulah Hashimah membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

MGF16012019_TEMBUAL HASHIMAH_06

Menceritakan mengenai pengalamannya mengasuh Sultan Abdullah, Hashimah berkata, ayahanda Sultan Abdullah, Sultan Ahmad sememangnya sangat rapat dengannya begitu juga dengan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Katanya, pernah satu ketika tangan Sultan Abdullah patah akibat terjatuh dari pokok ketika bermain di rumahnya di Kuala Lumpur dan Sultan Ahmad memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjaga anaknya itu yang pada masa tersebut dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan .

“Masa tu dia budak-budak lagi. Tapi dia dah pandai main. Dia jatuh pokok tangan patah. Lepas tu tuanku bawa saya ke KL jaga dia di hospital,” ujarnya.

Walaupun, peristiwa itu telah lama berlalu namun, kenangan mengasuh Sultan Abdullah tidak akan pudar dari ingatannya, kata Hashimah.

Keakrabannya dengan keluarga Sultan Pahang membuatkan Hashimah sering diundang ke istana bagi menghadiri majlis-majlis tertentu sehingga kini.

Sultan Abdullah akan menyambutnya dengan rasa gembira dan akan memeluknya setiap kali berjumpa.

Malah, jika tidak berkesempatan untuk berkunjung ke rumahnya, Sultan Abdullah akan menghantar orang untuk bertandang bagi bertanyakan khabar berita tentang orang yang pernah menatangnya sejak kecil itu.

Bagaimanapun Hashimah menjelaskan, dia tidak tahu makanan kegemaran Sultan Abdullah kerana tidak pernah menyediakan santapan ekoran kerja-kerja itu dibuat oleh tukang masak di Istana Mangga Tunggal.

Hashimah mengakui dia berasa sangat bangga kerana kanak-kanak yang pernah diasuhnya sejak kecil kini menjadi seorang sultan dan mungkin bakal bergelar Yang diPertuan Agong.

“Saya suka dia jadi sultan sebab masa saya bela dia umur saya masih muda. Sekarang umur saya dah banyak meningkat dan saya pandang dia jadi pemerintah.

“Saya sangat sukalah bernaung di bawah pemerintahan dia. Masa saya jaga dia umur saya 20 tahun,” katanya.

Hashimah yakin Sultan Abdullah akan menjadi seorang pemerintah yang baik dan adil terhadap rakyatnya kerana ciri-ciri itu sememangnya tekah wujud sejak baginda masih kecil lagi. – MalaysiaGazette