KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) masih meneruskan segala kemudahan dan bantuan sedia ada, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Beliau berkata, antara kemudahan dan bantuan yang diteruskan kementerian itu atau kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam di samping bantuan lain.
Katanya, tidak timbul dakwaan kononnya Kementerian Pertahanan menerusi kerajaan PH mengabaikan kebajikan veteran ATM.
“Lagipun, permasalahan dihadapi veteran ATM ini bukan isu baharu dan telah dibangkitkan sejak pentadbiran kerajaan terdahulu, iaitu Barisan Nasional (BN).
“Kerajaan PH telah memperuntukkan kepada JHEV ATM sejumlah RM78.9 juta sepanjang tahun 2018, dan jumlah itu bertambah kepada RM98 juta melalui Bajet 2019 yang diumumkan kerajaan pada 2 November lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kerajaan juga telah meluluskan bantuan khas sebanyak RM500,000 untuk diagihkan kepada persatuan bekas tentera.
Kerajaan juga, ujarnya sedang merancang untuk meningkatkan penglibatan agensi awam dan swasta demi menjaga kebajikan dan menambahbaik taraf sosio-ekonomi veteran ATM.
“Malah, kementerian saya juga membuktikan keprihatinan kepada veteran ATM melalui pengaktifan semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang telah bersidang buat kali pertama pada 24 Disember lalu walaupun telah ditubuhkan sejak 2016,” katanya.
Katanya, MVK yang dipengerusikan oleh beliau telah merangka strategi dan mengkaji kaedah serta cara terbaik untuk memastikan kebajikan veteran ATM sentiasa diutamakan demi menghargai pengorbanan mereka kepada negara. – MalaysiaGazette