Home Politik Cina tetap mahu ‘roket’

Cina tetap mahu ‘roket’

Temubual bersama penduduk Cina, Chai Kok Seong, 57 sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Brincang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Walaupun mengakui pembangunan mampan sebenarnya wujud di Cameron Highlands ketika kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) berkuasa selama lebih 60 tahun,  namun rata-rata penduduk masih mahukan perubahan pimpinan.

Begitu luahan masyarakat Cina di Cameron Highlands kerana masih mahu memberi kuasa sepenuhnya kepada kerajaan Pakatan Harapan khasnya DAP.

Pada mereka, banyak isu yang tidak pernah selesai sehingga kini walaupun sudah puluhan tahun mentadbir, malah kerajaan negeri masih lagi di bawah kuasa BN.

Jika tidak DAP masing-masing mahu calon bebas dalam kalangan mereka, petani Wong Seng Yee yang sangat memahami selok belok bukan sahaja kehendak masyarakat itu, sebaliknya juga tahu permasalahan yang dihadapi.

Antara yang membelenggu permasalahan masyarakat Cina ialah pencerobohan tanah, pekerja asing, hak milik tanah, kesesakan lalu lintas dan masalah alam sekitar.

MGF12012019_PENAMAAN CALON PRK CH11
Calon PH, Manogaran Marimuthu diiringi barisan tertinggi Pakatan Harapan berarak bersama para penyokong pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2019.

Menurut Chai Kok Seong, 57 dari Bertam Valley, beliau yang datang berhijrah mengikut keluarganya ketika berusia empat tahun dapat membuat perbezaan suasana dan pembangunan Cameron Highlands dahulu dan kini.

Kok Seong akui wujudnya arus pembangunan ketika pentadbiran BN, namun katanya, menukar kerajaan adalah baik kerana yakin lebih banyak perubahan baik akan di bawa oleh PH, khususnya DAP.

“Kita mahu orang kita sendiri. DAP faham kita, banyak isu berkaitan masyarakat Cina mereka lebih tahu dan jika berikan kuasa mungkin mereka akan bantu kita ubah isu-isu yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Mereka tidak dapat bantu banyak sebelum ini kerana bukan kerajaan, jika kuasa diberikan mungkin kita akan nampak lebih banyak kebaikan. Walaupun calon bukan dalam kalangan masyarakat Cina, kami sokong ‘roket’.

“Lagipun ada banyak pemimpin dalam kalangan kerajaan terdahulu yang rasuah dan terbukti. Mungkin kerajaan baharu ini akan lebih ‘takut’ dan tidak akan buat apa yang dilakukan oleh kepimpinan terdahulu.

“Anak-anak saya semuanya sudah berhijrah ke Kuala Lumpur, Singapura untuk bekerja kerana pada mereka tidak ada apa di sini, hakikatnya banyak lagi boleh di lakukan untuk menjadikan Cameron Highlands lebih baik dan membangun.

“Cukuplah untuk BN berkuasa, sudah tiba masa untuk kita beri peluang kepada ‘Roket’. Beri mereka masa juga untuk mentadbir, masih baharu lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

MGF16012019_INTERVIEW MASYARAKAT CINA05
Temubual bersama penduduk Cameron Highlaands, Chai Poh Fatt, 57 sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Brincang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

Untuk Chai Poh Fatt pula, sehingga kini beliau berhadapan dengan isu lesen perniagaan dan juga tanah untuk sekian lama.

“Sudah minta tolong banyak kali tapi apapun tidak dapat sampai kini. Mungkin calon baharu boleh tolong. Sudah lama bermasalah, siapa pun tidak dengar. Harap kali ini ada sedikit perubahan.

“Saya sudah berniaga lebih 10 tahun tetapi masalah lesen perniagaan saya tidak selesai hingga kini, harap isu itu dapat diselesaikan dan memang calon-calon ada berjanji, kita tengok bagaimana,” katanya.

MGF16012019_INTERVIEW MASYARAKAT CINA03
Temubual bersama penduduk Cameron Highlaaands, Anne Wong, 50 sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Brincang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

Manakala bagi Anne Wong Siew Eng, 50, antara isu untuk dirinya sehingga menjejaskan perniagaan strawberi termasuk masalah kesesakan selain daripada masalah parkir.

Kata Anne, walaupun Kea Farm terkenal sebagai kawasan pelancongan di Cameron Highlands bagi mereka membeli belah namun sehingga kini isu tempat letak kereta tidak pernah selesai.

“Pelancong tidak mahu datang kerana tidak ada tempat yang betul sejak dulu lagi. Tidak boleh letak kereta, salah letak saman. Jalan sesak juga, pelancong yang datang pun enggan singgah sini.

“Saya harap calon seperti bebas, Wong Seng Yee bukan kawan saya sahaja tapi faham isu-isu kami. Senang hendak berkomunikasi juga. Keluarganya juga saya sangat kenal sejak kecil lagi. Dia lebih ikhlas dalam perjuangkan isu-isu kami,” tehasnya.

MGF16012019_INTERVIEW MASYARAKAT CINA02
Temubual bersama penduduk Cameron Highlands, Chua Ah Moi,70 sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Brincang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

Bagi Chua Ah Moi, 70, yang membesar di Brinchang pula mahu kerajaan beri lebih perhatian kepada pemasalahan daripada berpolitik sepanjang masa.

“Undi itu rahsia, jadi saya tidak akan cakap siapakah yang saya undi. Pastinya kepada yang saya selesa sahaja, yang faham apa yang dihendaki dan senang berkomunikasi dengan kami.

“Walaupun sudah ditadbir begitu lama, masalah-masalah kami juga sangat lama terabai begitu sahaja tetapi pilihan raya sahaja mahu berjanji untuk selesai, bila kamu mahu selesaikan.

“Isu-isu tanah dan lesen perniagaan sudah lama tapi tidak dipandang langsung, mungkin kali ini boleh tukar sikit dan kita juga boleh desak,” ujarnya.

MGF16012019_INTERVIEW MASYARAKAT CINA04
Temubual bersama penduduk Cameron Highlaands, Ooi Jian Ming, 21 sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Brincang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

Bagi pemuda, Ooi Jian Ming, 20, dia membantu perniagaan kawan bapanya dan sedia maklum banyak isu belum dapat diselesaikan sehingga kini walaupun sudah beberapa kali calon bertukar.

“Saya belum dapat mengundi lagi tetapi memang banyak masalah, sebelum ini tidak ada sebarang perubahan. Bagi kami orang kami lebih baik kerana lebih faham dan senang untuk berinteraksi,” katanya.

MGF16012019_WALKABOUT CALON BEBAS WEE11
Calon bebas, Wong Seng Yee ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Januari sebagai hari penamaan calon dan 26 Januari adalah hari pengundian bagi PRK Parlimen Cameron Highlands.

Kerusi Cameron Highlands dikosongkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan kemenangan calon BN, yang juga Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajhekoran berlakunya rasuah. – MalaysiaGazette