KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meminta atlet lontar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin menarik balik tuduhannya ke atas Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pada masa sama, Presidennya, Datuk Karim Ibrahim memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan atlet itu, di samping mengharapkan perbincangan semula dapat diadakan antara kedua pihak.
Katanya, sebagai Presiden KOM sudah tentu beliau kecewa dengan kenyataan melulu anak buahnya itu, terutama terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan beberapa keputusan kesatuan itu dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak menyebelahi permintaannya.
“KOM sentiasa bekerjasama dengan kerajaan khususnya KBS, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam memikul tanggungjawab kesatuan sebagai badan yang menaungi sukan olahraga di negara ini.
“Kami sentiasa menghargai komitmen kerajaan dan rakan lain yang membantu kami membangunkan sukan olahraga negara ke tahap yang tertinggi ini.
“Sudah tentu kerjasama ini memerlukan beberapa keputusan bersama yang akan dibuat dalam usaha kita merealisasikan cita-cita atlet olahraga negara agar dapat dikecapi mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Hari ini, Muhammad Irfan membuat kejutan apabila dengan lantang menegur dan mempersoalkan misi serta visi KBS dalam membuat rombakan jurulatih bagi acara olahraga.
Beliau melontarkan pertanyaan itu kepada Syed Saddiq menerusi hantaran dalam laman Twitternya berhubung tindakan kementerian membubarkan Program Podium dan menamatkan serta merta kontrak jurulatihnya, Frank Petrovic.
Petrovis adalah jurulatih lempar cakera yang membimbing Muhammad Irfan sehingga berjaya mencipta nama pada Sukan Asia 2017 dengan memungut pingat perak.
Mengulas lanjut, Karim berkata, bagi kes membabitkan Muhammad Irfan, keputusan diambil Jawatankuasa Kerja Sukan Olahraga bersama KOM, MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan ISN adalah untuk mengkaji semula cadangan atlet itu berlatih di Republik Czech semasa tahap “Conditioning Period”.
Pada pandangan KOM, latihan pada waktu itu dianggap tidak praktikal kerana kekurangan maklumat mengenai tempat dan juga kepakaran latihan yang ada di negara itu.
Namun katanya, berikutan dari masa peralihan program yang mana jurulatih peribadinya tidak dilanjutkan kontrak, pihaknya menghormati kesungguhan Muhammad Irfan untuk mempersiapkan dirinya sementara mendapat jurulatih baharu.
Ujar beliau, KOM telah mengizinkan mana-mana atlet olahraga yang mempunyai perancangan sendiri untuk berlatih di luar negara boleh melakukannya.
Tetapi dengan syarat mereka menanggung program tersebut dan salah seorang atet negara dalam atlet lompat tinggi, Nauraj Singh yang mengemukakan perancangan untuk berlatih di luar negara atas pembiayaan sendiri.
“Berikutan keputusan Jawatankuasa Kerja supaya KOM berbincang semula dengan Muhammad Irfan, kita melalui Ketua Jurulatih Kebangsaan telah menghubunginya untuk mengadakan perbincangan lanjut, tetapi malangnya dia mempunyai pendekatan sendiri menangani permintaannya itu.
“Namun, melepaskan kemarahannya kepada menteri bukan tindakan betul kerana keputusan yang diambil adalah melibatkan KOM sendiri dan tidak membabitkan keputusan oleh menteri.
“KOM juga telah membangkitkan mengenai calon jurulatih yang perlu diteliti dan diperhalusi semula dengan Muhammad Irfan kerana sebarang jurulatih yang dipilihnya bukan sepatutnya dilantik sebagai jurulatih peribadi, tetapi beliau harus mampu mengendalikan program latihan acara lontaran kepada atlet lain khususnya atlet pelapis,” katanya. – MalaysiaGazette