Home Utama Enggan pasang jeriji mudah buka antara punca kematian semasa kebakaran

Enggan pasang jeriji mudah buka antara punca kematian semasa kebakaran

Jeriji mudah buka
PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mungkin menggunakan pendekatan lebih tegas jika kempen pemasangan jeriji mudah buka tidak mendapat perhatian pemaju dan pemilik kediaman.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya masih ‘berlembut’ menerusi pendekatan advokasi untuk mendidik golongan sasar mengenai bahaya dan risiko pemasangan jeriji statik berbanding penggunaan jeriji yang mudah dibuka dari dalam.

“Kempen dan pengedaran buku asas keselamatan kebakaran di kediaman telah lama dijalankan tetapi seakan tidak dipedulikan, memaksa ia digiatkan semula berikutan kes kematian akibat kebakaran kediaman yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini,” katanya.

Ditanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat reka bentuk dan pemasangan jeriji mengenai maksud tindakan tegas, Wan Mohd Nor berkata pihaknya mungkin akan menambah baik akta tertentu yang membolehkan tindakan diambil kepada mereka yang mengabaikan pemasangan jeriji mudah buka.

Beliau berkata pemasangan jeriji statik menyebabkan penghuni tidak dapat menyelamatkan diri atau usaha menyelamat mangsa terperangkap tidak dapat dilakukan.

“Kebanyakan pemasangan jeriji bertujuan untuk keselamatan persekitaran tetapi ia dipasang tanpa mengambil kira aspek keselamatan kebakaran yang boleh menjadi perangkap maut kepada penghuni,” katanya.

Wan Mohd Nor melaporkan bagi tempoh Januari hingga 12 Mac tahun ini, sebanyak 12 kematian direkodkan daripada 598 kebakaran yang berlaku di seluruh negara.

— BERNAMA