SULAWESI – Seorang wanita maut dibaham buaya peliharaan dalam sebuah kandang.
Deasy Tuwo, 44, dilaporkan sedang memberi buaya tersebut makan di ladang mutiara yang menjadi tempatnya bekerja dan reptilia itu disimpan secara haram.
Buaya seberat 700 kilogram yang diberi nama Merry itu telah mengiggit lengannya dan abdomen mangsa.
Reptilia itu kini ditempatkan di pusat konservasi sementara pihak berkuasa mengesan pemiliknya.
Tuwo merupakan ketua di makmal di ladang mutiara itu.
Beberapa laporan menyatakan buaya tersebut telah menyeret mangsa ke dalam kandang tetapi kakitangan agensi konservasi percaya Tuwo terjatuh ke dalam kandang.
Kejadian itu berlaku pada 10 Januari lalu tetapi mayatnya dijumpai oleh rakannya pada keesokan paginya.
Hendriks Rundengan dari Agensi Konservasi Semula Jadi utara Sulawesi berkata, pihaknya telah cuba melawat beberapa kali tempat itu untuk memindahkan buaya berkenaan tetapi tidak dibenarkan masuk.
Media lain melaporkan sebahagian mayat Tuwo masih berada dalam perut buaya yang berukuran 4.4 meter panjang itu.
Buat masa ini, polis sedang menjejaki seorang warga Jepun yang merupakan pemilik ladang mutiara dan buaya berkenaan. – MalaysiaGazette