Home Politik Apa salahnya pilih saya ‘YB Cameron Highlands’ ? – Manogaran

Apa salahnya pilih saya ‘YB Cameron Highlands’ ? – Manogaran

Calon Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu berucap pada Majlis Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highland di Sungai Koyan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen P078 M Manogaran merayu kepada masyarakat di sini agar memberinya peluang tanpa mengira latar belakang atau kaum.

Sebaliknya mengundi beliau bagi masa depan lebih mampan bagi penduduk di kawasan tersebut.

Manogaran ketika bercakap dalam ceramah perdana di Dataran Felda, Koyan 1 sebentar tadi bertanya, apakah salahnya beliau di beri peluang menjadi ‘Yang Berhormat’ di Cameron Highlands.

“Apa salahnya saya dijadikan sebagai YB Cameron Highlands tanpa kira latar belakang dan kaum? Jangan termakan dengan kempen yang dilakukan oleh pihak lawan yang asyik bercakap tentang politik perkauman.

“Seandainya anda beri peluang kepada kerajaan PH yang kini sudah ada kuasa pusat, macam-macam kita boleh buat selepas ini. Saya hendak tanya kepada anda, jika anda undi kepada BN, apakah kebajikan atau kebaikan boleh diberikan kepada anda semua khasnya di Koyan ini?

“Ingin saya beritahu anda semua sekelian, sehingga kini kerajaan negeri Pahang yang dikuasai oleh BN sebenarnya berhutang sebanyak RM3.1 bilion, malah meminta dana daripada Kerajaan Pusat.

“Bagaimana mereka boleh berikan apa yang dikehendaki oleh anda semua? Mengundi kerana kebaikan serta kebajikan anda boleh dijaga,  mereka tidak mempunyai kuasa dan juga kekangan kewangan. Tolong buat pilihan yang bijak dan tidak terburu-buru,” katanya.

Tambah Manogaran, antara agendanya adalah memastikan suara Cameron Highlands serta setiap kehendak masyarakat di sini di dengari oleh Putrajaya apatah lagi hampir 61 tahun pelbagai isu masih lagi tidak selesai sehingga kini.

“Antara yang pasti akan dilakukan oleh saya ialah mengetuk pintu Gobind Singh bagi memastikan isu telekomunikasi kita di selesaikan, bukan sekejap isu ini tapi saya pasti beliau boleh membantu kita.

“Malam ini beliau tidak ada sebarang pengumuman untuk warga Cameron Highlands, nanti lepas PRU beliau akan (ada),” ujarnya.

MGF17012019_CERAMAH UMUM PH04
Sebahagian penduduk yang hadir pada Majlis Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highland di Sungai Koyan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2019.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo turut mempertahankan kebolehan Manogaran sebagai calon di Cameron Highlands.

“Manogaran mampu selesaikan pelbagai isu sebenarnya apatah dengan reputasi beliau. Jangan percaya dengan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh BN ketika ini.

“Apa calon BN, Ramli boleh buat? Mengapa sengaja bercakap tentang kaum tertentu? Tolong tolak politik seperti ini, jangan terjerat dengan perkara seperti ini.

“PRK di Cameron Highlands perlukan perubahan, bukan sahaja dalam bentuk infrasturuktur tetapi juga melalui pemikiran, banyak perlu di ubah. Contoh terdekat, kita lihat perubahan pada 9 Mei lepas, rakyat mahukan perubahan dan bertindak ubah kerajaan,” tegasnya. –MalaysiaGazette