Home Politik Orang Asli kenal Manogaran, PH tak janji sakan – Anwar

Orang Asli kenal Manogaran, PH tak janji sakan – Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

CAMERON HIGHLANDS – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Menurut Presiden PKR itu, melalui pengamatan beliau, Manogaran bukan sahaja sangat disenangi oleh masyarakat India atau Cina sebaliknya Orang Asli juga amat mengenali dirinya.

“Saya nampak bagaimana Orang-Orang Asli ini mengenali dan popular dalam kalangan mereka, apa maknanya ini? Ini bermakna Manogaran bukan bekerja hanya pada pilihan raya sahaja sebaliknya sudah lama berada di sini.

“Ini adalah calon terbaik kita yang perlukan sokongan terbaik daripada kalangan pengundi Cameron Highlands sendiri. Undi Manogaran bagi kehidupan yang lebih baik di sini selepas ini, saya yakin perubahan akan di bawa.

“Cara kempen kita lain, kita tidak mahu berjanji sakan sebaliknya akan membawa perubahan itu secara nyata. Saya sendiri tidak mahu beri janji banyak-banyak.

“Bayangkan, dekat sini hari ini kita ada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kita ada Menteri Komunikasi dan Multimedia, kita ada Menteri Kewangan, semuanya tidak membuat sebarang janji sebaliknya akan bekerja. Anda sendiri akan saksikannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana di Dataran felda, Koyan 1 di sini malam tadi.

MGF17012019_CERAMAH UMUM PH10
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Calon Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu (tengah) serta barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan mengangkat tangan pada Majlis Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highland di Sungai Koyan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2019.

Anwar berkata, rakyat perlu celik seperti apa kebangkitan yang berlaku pada 9 Mei lepas di mana kuasa rakyat menumbangkan sebuah kerajaan yang telah memerintah negara selama hampir 61 tahun.

“Apakah negara kita kita melarat seperti Malawi atau Zimbabwe? Tidak. Ini adalah sebuah negara yang bukan sahaja makmur malah sangat kaya dengan pelbagai hasil.

“Tetapi pada masa yang sama, apakah yang terjadi dengan kekayaan itu? Pemimpin politik ranapkan kekayaan itu, kekayaan Melayu, kekayaan Tabung Haji semuanya ranap.

“Bukan satu dua bilion yang hilang tapi berpuluh berpuluh-puluh bilion kita ranap. Kita perlu celik dan sedar selain daripada membuat keputusan yang sewajarnya,” tegasnya. –MalaysiaGazette