Home Nasional Hanya 3 wakil media dibenarkan ikuti inkues Adib

Hanya 3 wakil media dibenarkan ikuti inkues Adib

Sebahagian petugas media mendaftar bagi mengikuti perkembangan inkues kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2019

SHAH ALAM – Hanya tiga wakil media dibenarkan membuat liputan inkues kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang bermula di Mahkamah Sesyen 8 di sini, hari ini.

Media berkenaan ialah The Star, Sin Chiew dan Bernama manakala media lain tidak dibenarkan masuk atas alasan tidak cukup tempat duduk.

Media yang berkumpul seawal jam 7 pagi di Kompleks Mahkamah Shah Alam untuk mengikuti inkues itu kecewa dengan langkah mengehadkan jumlah wartawan yang dibenarkan membuat liputan.

Hari ini menyaksikan pembukaan pertama pendengaran sebutan kes inkues berhubung kematian Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Allahyarham yang berumur 25 tahun meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Disember lalu.

Muhammad Adib meninggal dunia selepas menerima rawatan selama tiga minggu akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya. – MalaysiaGazette