KUALA LUMPUR – Pas minta semua pengundi dalam Parlimen Cameron Highlands menolak parti dan calon DAP kerana menggunakan politik ugut.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengugut pengundi yang sedang menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan Parlimen itu adalah tidak wajar.
Katanya, mengapa pemimpin DAP itu perlu ugut dengan politik pembangunan, walhal acuan politik baharu yang dicanangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah inklusif kepada seluruh rakyat.
“Dalam demokrasi, rakyat berhak memilih tanpa dimomokkan dengan ugutan yang menjengkelkan. Perkara tersebut turut ditegur oleh BERSIH semalam.
“Justeru, Pas menyeru seluruh pengundi di Cameron Highland menolak parti DAP yang menggunakan politik ugut dan memperbodohkan pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Guan Eng ketika lawatan kempennya di Sungai Koyan kelmarin, mendakwa pembangunan di Cameron Highlands akan terbantut sekiranya pengundi masih mengekalkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen berkenaan.
Menurut Nasrudin, walaupun dikatakan parti demokratik tetapi Guan Eng bersikap autokratik terhadap pengundi.
Katanya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mempersoalkan bantuan peneroka FELDA yang belum dilunaskan dan hutang kerajaan Pahang yang tinggi.
“Sebelum bermula PRK, calon DAP juga memainkan sentimen politik perkauman kepada pengundi sehingga akhirnya calon tersebut memohon maaf.
“Ini bermakna, politik perkauman dan politik ugut adalah acuan politik baharu yang dicanangkan oleh DAP.
“Setelah mereka merangkul kuasa, banyak prinsip politik yang telah dicabuli dan dilakukan dengan sewenang-wenangnya,” katanya. – MalaysiaGazette