Home Sukan Lima pegawai FAM terpilih bertugas di UAE

Lima pegawai FAM terpilih bertugas di UAE

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Beberapa pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpilih menjalankan tugas di Kejohanan Piala Asia 2019 yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 5 Januari hingga 1 Februari ini.

Pemilihan itu dibuat selepas persatuan itu mendapat kepercayaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kata FAM menerusi kenyataan hari ini.

Seramai lima wakil negara terpilih dan diberi tanggungjawab untuk menjalankan tugas-tugas tertentu pada kejohanan itu.

Mereka terdiri daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang menjalankan tugas-tugas khas di tiga venue perlawanan di bandar Abu Dhabi, Exco FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media FAM, Christopher Raj selaku pegawai media di venue Stadium Mohammed Zayed, Abu Dhabi.

Manakala Mohd Amirul Izwan Yaacob dilantik sebagai pengadil bersama dua pembantu pengadil, Mohd Yusri Muhamad dan Mohamad Mu’azi Zainal Abidin.

Bagaimanapun, Stuart dijangka pulang ke tanah air hari ini selepas menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh AFC kepadanya.

Manakala Christopher, Amirul, Yusri dan Mu’azi, akan terus menabur bakti mereka pada baki saingan Piala Asia 2019 ini. – MalaysiaGazette