CYBERJAYA- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan bertemu Persatuan Automotif Malaysia (MAA) minggu depan untuk membincangkan isu-isu utama, termasuk insentif kenderaan cekap tenaga (EEV), dan kelulusan harga kereta.
“MITI akan menyelaraskan pertemuan dengan MAA dan pihak berkepentingan lain yang relevan, supaya kita boleh mengadakan perbincangan. Kami akan mengumumkan keputusan itu kepada media, “kata Timbalan Menteri, Dr Ong Kian Ming.
Ong memberitahu pemberita selepas membentangkan Prestasi Industri Automotif 2018 dan Wawasan Industri Automotif 2019, di sini hari ini.
Tegasnya, Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif adalah pusat di mana kesemua insentif yang dipohon oleh pengeluar kenderaan akan diproses dan diberi cadangan sebelum ia diserahkan kepada Kementerian Kewangan.
Semalam, MITI mengeluarkan kenyataan mengenai kelewatan dalam meluluskan harga model kereta baru, menyatakan bahawa ia adalah untuk memastikan bahawa insentif diberikan dan diedarkan mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
Kementerian itu berkata proses membuat keputusan, yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC), harus telus, adil dan komprehensif. -BERNAMA