KUALA LUMPUR – Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membuat keputusan untuk menutup pejabat kecil di RPS Terisu ada sebabnya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ajis Sitin berkata, penutupan pejabat itu kerana pihaknya mahu mereka mendapatkan terus perkhidmatan daripada pejabat JAKOA Daerah Cameron Highlands.
JAKOA membuat keputusan untuk menutup pejabat kecil di RPS Terisu setelah jalan perhubungan siap dibina yang membolehkan masyarakat Orang Asli mendapatkan perkhidmatan terus daripada Pejabat JAKOA Daerah Cameron Highlands, katanya.
“Keputusan ini juga dibuat setelah menilai keperluan operasi pejabat-pejabat kecil di perkampungan Orang Asli serta fungsi, keupayaan dan tenaga kerja yang
dimiliki oleh pejabat-pejabat daerah.
“Bangunan pejabat kecil yang berada di RPS Terisu tersebut juga akan dirobohkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ajis berkata demikian merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian bertajuk “Pengundi Mahu Pejabat JAKOA Buka Semula” pada 16 Januari lalu di mana penduduk Orang Asli di RPS Terisu berharap pejabat JAKOA di RPS Terisu dibuka semula selepas ditutup sejak 10 tahun lalu.
Menurut beliau, JAKOA ingin menegaskan pihaknya sangat mengambil tahu masalah Orang Asli dan kakitangan di pejabat mereka di setiap daerah akan berurusan terus dengan penduduk komuniti tersebut.- MalaysiaGazette