KUALA LUMPUR – “Kenalkan, sebelah kanan saya ni tauke 1MDB. Saja nak bagitau, baik jadi tauke Harapan Coin daripada jadi tauke 1MDB yang rembat duit rakyat”.
Demikian lontar Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menerusi akaun Twitternya semalam, sebagai membalas status mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadapnya.
Namun, ternyata walaupun ia sekadar komen balas yang ditulis dalam bentuk gurauan oleh Ahli Parlimen Shah Alam itu, jelas statusnya kurang disenangi oleh warganet.
Laman Twitter beliau dipenuhi dengan komen keras, pedas dan sindiran dari warganet, yang menunjukkan apa sahaja statusnya terhadap Najib tidak mendapat sokongan orang ramai.
Najib dalam akaun Facebooknya membalasnya dengan memuatnaik status, “Oh, sebelah kiri saya ini tauke Harapan Coin. Hari tu terpegun naik MRT. Jangan dia terkejut Cameron ada strawberi sudah lah”.
Status itu ditulis Najib selepas beliau terserempak secara tidak sengaja dengan Khalid yang sama-sama menunaikan solat Jumaat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam.
Serentak itu juga tular satu klik video yang menunjukkan jemaah Sungai Koyan mengerumuni Najib dan tidak mempedulikan Khalid yang dilihat meninggalkan masjid itu dalam keadaan senyum.
Beberapa jam selepas itu, Najib memuatnaik sekeping gambar beliau bersama Khalid sedang berbual dengan warga Sungai Koyan, dipercayai imam masjid tempat mereka menunaikan solat Jumaat.
Untuk memaklumkan kepada umum, bekas Presiden UMNO itu menulis kapsyen yang memperkenalkan Khalid sebagai tauke Harapan Coin.
Jelas, Khalid kurang senang dengan status itu lalu membalasnya, dengan harapan mendapat komen positif dari warganet.
Malangnya, ramai yang mengecam beliau dengan menyifatkannya sebagai kebudak-budakan. – MalaysiaGazette