Home Politik ‘Malu Apa Bossku’ buatkan Najib popular

‘Malu Apa Bossku’ buatkan Najib popular

CAMERON HIGHLANDS – Nampaknya tagline ‘Malu Apa Bossku’ seolah-olah sudah tidak dapat dipisahkan lagi apabila hampir 200 penduduk berkumpul seawal 7.30 pagi menanti kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Sungai Koyan hari  hari ini.

Mereka melaungkan tanpa henti tagline berkenaan.

Tidak kurang juga ada antara mereka memakai t-shirt dengan perkataan ‘Malu Apa Bossku’ dengan gambar Ahli Parlimen Pekan yang kelihatan sedang menunggang sebuah motosikal.

Sejurus selepas Najib tiba dalam jam 8 pagi tadi, masing-masing begitu teruja melaungkan perkataan tagline yang sama sambil bersalam dan memeluk beliau.

Menariknya, bukan sahaja golongan muda sahaja yang kelihatan teruja sebaliknya golongan warga emas rata-ratanya peneroka itu juga menyebut-nyebut tagline yang sama dengan pelbagai gaya lucu.

NajibKg Betong

Pada mereka, Najib tetap disanjungi kerana beliau antara pemimpin negara yang paling banyak membawa kebaikan kepada warga peneroka dan penduduk kampung khasnya di Pahang selama ini.

Adalah sesuatu yang mustahil untuk mengatakan Najib sudah tidak popular atau tidak disenangi kerana rata-rata mereka sanggup datang hanya kerana mahu bertemu dengan bekas perdana menteri itu untuk menyatakan rasa sokongan.

Bossku

Najib juga kelihatan begitu teruja dan begitu mesra dengan penduduk kampung dengan bukan sahaja bersalam sebaliknya boleh melayan kerenah mahu bergambar swafoto selain daripada bersarapan dengan mereka.

Wajahnya tidak lekang dengan senyuman selain daripada bergurau senda tanpa mempedulikan keadaan sekeliling, beliau sempat meluangkan masa bersarapan selama setengah jam sebelum masuk melawat beberapa penduduk Bukit Betong yang sakit.

Ketika itu suasana gerai makan semakin ramai kerana lebih ramai penduduk kampung datang bertemu dengan beliau.

Selepas bersarapan beliau menaiki motorsikal klasik yang ditunggang Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Sambil menunggang, Najib sempat membuat lawak dengan merekod video dengan berkata beliau sedang mencari tempat untuk membuat pusingan u sebagai sindiran terhadap pemimpin Pakatan Harapan.

Kerajaan pusat yang diterajui oleh PH sejak menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14, hampir kebanyakan janji yang dikeluarkan oleh mereka kini tidak dapat ditunaikan sebaliknya berterusan membuat pusingan U dengan memberi pelbagai alasan yang juga menyebabkan rakyat muak.

Terdahulu, Najib sempat memuat naik sebuah status lucu dengan menunjukan beliau dan strawberi.

“Tiba-tiba teringat, Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Samad) buat apa kat Cameron Highlands?

“Saya datang jauh-jauh ini nak beli strawberi. Menteri Wilayah Persekutuan beli juga ke? Dan satu lagi, kenapa DAP panas saya datang beli strawberi?” ujarnya.

Ia kemudian mendapat respons yang bukan sahaja melucukan malah perkongsian serta ‘like’ sehingga mencecah lebih 32,000 dalam tempoh kurang daripada dua jam sahaja.

Najib sudah berada di Cameron Highlands sejak Khamis lepas hadir bagi memberi sokongan serta berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN) untuk kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan.

Hari ini merupakan hari ketiga dan terakhir di mana beliau akan mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung Bukit Betung, Kampung Bukit Kota, Kampung Keledek, Masjid Kampung Sungai Ular sebelum ke Kampung Belau di Pos Sinderut.

Sebutan ‘Malu Apa Bossku’ mula menjadi sebutan yang popular selepas video pendek yang tular di Facebook menampilkan seorang pemuda merakam video bersama Najib.

Foto grafik Najib menaiki motosikal Yamaha Y15ZR bersama perkataan ‘Malu Apa Bossku’ juga telah tersebar dengan pantas di saluran media sosial sejak Khamis lepas.

Malah dalam sekelip mata sahaja, kini perkataan itu begitu sinonim dengan Najib. –MalaysiaGazette