KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) kini dianggap sampah oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sejak beliau menjadi sebahagian daripada Kabinet.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa, sekarang apa yang dikatakan, diperjuangkan Bersih tidak lagi betul.
Situasi sudah berbeza berbanding sebelum Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Ini kawan saya. Dia bersungguh-sungguh turun Bersih 2, Bersih 3, Bersih 4, Bersih 5, Bersih 6.
“Matahari terik, hujan lebat. Tak apa, asalkan dia ada turun. Lawan untuk demokrasi dan keadilan, dia kata.
“Masa itu, semua yang Bersih tuduh dan buat adalah betul, suci dan tidak boleh dipertikaikan. BERSIH semua betul.
“Selepas kawan ini menang PRU14, Bersih sudah jadi sampah. Bersih memutarbelitkan dia,” katanya sambil menyindir Guan Eng menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Bersih 2.0 menggesa Guan Eng menjelaskan kenyataannya yang menggesa pengundi di Cameron Highlands mengundi Pakatan Harapan jika mahu merasai pembangunan.
Badan pemantau itu mendakwa kenyataan Guan Eng umpama diskriminasi terhadap kawasan yang di perintah pihak pembangkang.
Kemudian Ahli Parlimen Bagan itu menafikan ‘mengumpan’ pengundi, sebaliknya menegaskan kenyataannya diputarbelit kononnya kerajaan akan mewujudkan lebih banyak projek jika calon Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu 26 Januari nanti.-MalaysiaGazette