Home Nasional 247 orang layak undi awal PRK Cameron Highlands

247 orang layak undi awal PRK Cameron Highlands

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

TANAH RATA – Seramai 247 orang, yang kesemuanya anggota polis, layak mengundi  sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Selasa hadapan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, dua pusat mengundi disediakan iaitu di Bilik Maklumat Balai Polis Brinchang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata yang akan dibuka dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Sementara itu, pusat mengundi awal bagi DUN Jelai di Bilik Maklumat Balai Polis Sungai Koyan akan dibuka mulai pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang.

“Proses pengundian awal akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding selain pemerhati Pilihan Raya daripada wakil-wakil organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi pada hari itu, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk tujuan keselamatan.

Azhar berkata, pada 26 Januari nanti, peti-peti undi awal itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok di Dewan Gemilang Sekolah Sultan Ahmad Shah di sini untuk pengiraan.

“Sepanjang proses pengangkutan ke pusat penjumlahan undi, peti-peti undi akan diiringi oleh pihak polis dan disaksikan oleh ejen calon serta pemerhati,” kata Azhar.

Mengenai proses pengundian pos, Azhar berkata 122 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands Datuk Ishak Md Napis, 13 Jan lepas.

Kertas undi pos itu merangkumi tiga kategori iaitu petugas pilihan raya seramai 109 orang, pengundi pos Tidak Hadir Luar Negara (12) dan satu bagi kategori permohonan oleh warganegara di luar negara.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan iaitu M.Manogaran, Ramli Mohd Nor (Barisan Nasional) serta dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani, Wong Seng Yee. – MalaysiaGazette