Home Nasional Isunya bukan sekadar twist tapi pelanggaran etika – Asyraf Wajdi

Isunya bukan sekadar twist tapi pelanggaran etika – Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Kredibiliti Peguam Negara, Tommy Thomas terus dipertikai selepas kemunculan video yang menunjukkan beliau, Ketua Hakim Negara dan beberapa peguam menari di atas pentas tular hingga mendapat kecaman pelbagai pihak.

Perkara itu turut mendapat reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki apabila beliau melahirkan rasa kecewanya dengan kenyataan balas daripada individu-individu yang dikaitkan dengan penularan video berkenaan.

Menerusi Facebook Asyraf berkata, Kod Etika Hakim 2009 di bawah Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan had-had tingkah laku hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara.

Malah, beliau turut menegaskan, Bahagian II Kod berkenaan telah menjelaskan bahawa seseorang hakim wajib mematuhi peruntukan-peruntukan yang ditetapkan atau dikenakan tindakan tatatertib.

“Bukankah paparan video Ketua Hakim Negara bertwist sakan dan mesra dengan Peguam Negara dan peguam-peguam persendirian boleh mencetuskan gambaran dan persepsi berada di dalam ‘kedudukan istimewa’ sebagaimana Garis Panduan Kod Etika Kehakiman ini?” soalnya.

Menurut Asyraf, perkara 8 (1)(a) dan Perkara 8 (2) didalam Bahagian yang sama pula menyatakan secara jelas bahawa seseorang hakim hendaklah memastikan semua aktiviti luar kehakiman tidak menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim.

Bahkan katanya lagi, seseorang hakim juga hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu.

“Walaupun Siti Kassim berhujah bahawa beliau tidak mengenali Ketua Hakim Negara secara individu, bagaimana dengan Ambeega?

“Ambiga mempunyai sejarah panjang bersama Ketua Hakim Negara khususnya semasa prosiding kes Lina Joy di Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.

Asyraf menegaskan, rakyat pasti tertanya-tanya apakah wujud lagi doktrin pemisahan kuasa atau ‘separation of power’ yang akan memastikan keadilan benar-benar dilaksanakan dalam negara ini.

“Justeru, jika Kod Etika Hakim 2009 yang sepatutnya menjadi panduan utama bagi memastikan kebebasan ‘impartiality’ dan integriti hakim-hakim terpelihara pun hendak diremeh dan diabaikan, bagaimana keseluruhan Institusi Kehakiman Negara ingin mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat?”soal beliau lagi. – MalaysiaGazette