KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan menyaman Kerajaan Negeri Kelantan berhubung tuntutan hak tanah adat Orang Asli dilihat mencurigakan.
Ini kerana saman tersebut telah difailkan pada 14 Januari dan tarikh perbicaraannya telah dipercepatkan kepada hanya 8 hari selepas ia difailkan.
Jurucakap MCA berkata, kedua-dua tarikh tersebut berlaku dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil Cameron Highland, lantas ia pasti akan dijadikan sebahagian kempen untuk calon Pakatan Harapan.
Chan Quin Er berkata, sudah pasti ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mempersoalkan pengurusan kes yang kelihatan dibuat secara tergesa-gesa itu.
Ada juga yang bimbang Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman sedang dipergunakan untuk menyaman Kerajaan Negeri Kelantan demi memenuhi agenda politik peribadi kerajaan Pakatan Harapan.
Apatah lagi, sebelum ini Pakatan Harapan dikecam dan dikritik apabila salah seorang pemimpinnya mengugut untuk melucutkan jawatan Tok Batin Orang Asli sekiranya mereka tidak menyokong PH dalam PRK Cameron Highlands.
Sedia maklum, jumlah pengundi Orang Asli dalam PRK yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini amatlah besar iaitu 22 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.
Oleh itu, katanya, MCA menggesa kerajaan PH supaya tampil menjelaskan niat sebenar mereka mengenai tindakan saman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang secara “kebetulan” berlaku semasa tempoh berkempen.
“Penetapan tarikh perbicaraan yang hanya 8 hari selepas saman difailkan amat meragukan!,” ujar Quin Er. – MalaysiaGazette