Home Politik Wajib pilih pemimpin Islam – Hadi

Wajib pilih pemimpin Islam – Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

LIPISĀ – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam wajib bersatu padu untuk memilih pemimpin Islam yang boleh mempertahankan agama dan bangsa di negara ini.

Abdul Hadi berkata, sudah sampai masanya orang Islam menghentikan segala perbalahan sesama sendiri yang sebelum ini mempunyai fahaman politik berbeza khususnya antara UMNO dan parti Islam itu sendiri.

“Pas melihat wajib umat Islam bersatu, hilangkan pertelingkahan sesama mereka. Demi keselamatan umat dan negara, kita wajib bersatu.

“Banyak kalangan kita umat Islam tanpa memahami bahawa memilih pemimpin adalah kewajipan yang besar di dalam Islam.

“Dalam negara kita ini, politiknya mesti orang Islam dan orang Melayu Bumiputera beragama Islam yang mesti memimpin.

“Calon ini dipersetujui bersama, bukan UMNO saja termasuk Pas. Kita bersetuju memilih Ramli Mohd Nor jadi wakil rakyat kita di sini dengan harapan pengundi-pengundi di sini memilih beliau,” katanya berucap dalam Pentas Perdana Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Dataran Felda Sungai Koyan 1, di sini, malam tadi.

Hadir sama pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

MGF20012019_CERAMAH PERDANA BN PAS01
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) mengatakan sesuatu kepada Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan (kanan) ketika hadir pada Pentas Perdana sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan 1, Jelai, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2019.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan, pemimpin DAP semakin biadap apabila mereka dengan lantang mencampuri urusan agama Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAP naik tocang bila dapat kerusi lebih dan berkuasa di Pulau Pinang, mencorotkan MCA dan Gerakan.

“DAP menunjukkan keangkuhan dan kesombongannya, mengeluarkan suara lantang mencabar Islam dan orang Melayu serta campur tangan dalam urusan-urusan pentadbiran negara, dalam dasar-dasar negara Perkara Perlembagaan yang tak boleh dibiarkan sekali-kali.

“Di sini diwajibkan umat Islam sekali lagi bersatu, untuk menghadapi cabaran ini, kita lupakan perbalahan-perbalahan sampingan, mesti lihat perkara yang dasar dan perkara yang penting,” katanya.

Katanya lagi, kewajipan memilih pemimpin beragama Islam untuk menjadi wakil rakyat adalah berdasarkan soal dosa pahala yang tidak diambil kira oleh calon bukan Islam.

“Islam mengajar ada aspek spiritual, kerohanian, dosa dan pahala menjadi pemimpin.

“Masalah dosa dan pahala tiada dalam DAP, tiada dalam parti-parti yang bukan Islam, kita mahu pilih yang Islam ini, yang ada sifat ini.

“Orang Melayu, orang Islam dan orang asal beragama Islam wajib bukan sunat lagi, wajib memilih wakil yang membawa suara Islam ini,” katanya.

Sementera itu, Abdul Hadi turut mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) agar tidak menjanjikan perkara baharu dalam PRK Cameron Highlands kerana mereka masih gagal menunaikan manifesto PRU14 lalu.

“Biarlah orang Cameron ini fahamlah sikit, nak bawa model pembangunan, tunai janji dulu.

“Apa yang penting kita mesti berfikir dengan budaya politik matang dan berakal khususnya orang Melayu dan Islam yang menjadi pengundi di kawasan ini.

“Tunaikan kewajipan memilih calon kita wakil kita Ramli yang membawa suara kita ini, yang berpengalaman jadi pegawai tinggi polis dalam bahagian pasukan keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette