Home Nasional Operasi tarik keluar kereta terhumban ke laut ditangguh

Operasi tarik keluar kereta terhumban ke laut ditangguh

Operasi membawa keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang terpaksa ditangguhkan hari ini berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, dan akan disambung esok.
Operasi membawa keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang terpaksa ditangguhkan hari ini berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, dan akan disambung esok.

GEORGE TOWN – Operasi membawa keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang terpaksa ditangguhkan hari ini berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, dan akan disambung esok.

Komander Polis Marin Wilayah 1 ACP Rosman Ismail berkata operasi bagi menarik keluar kereta itu dari dasar laut dengan menggunakan sebuah kren yang bermula pukul 6.00 petang itu terpaksa dihentikan pada pukul 7.30 malam.

“Operasi mengeluarkan kereta itu terpaksa dihentikan berikutan (pasukan operasi) berdepan dengan kesukaran seperti keadaan gelap, arus deras, dan laut yang bergelora… pasukan penyelam telah mencuba sebanyak empat kali untuk mengeluarkan kereta itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata keadaan arus deras menyebabkan kabel cangkuk yang dipasang untuk mengangkat kereta itu terputus beberapa kali, dan ditambah dengan keadaan cuaca yang semakin gelap, operasi berkenaan dihentikan malam ini dan akan disambung semula pukul 7.00 pagi esok.

Kereta yang terhumban ke dalam laut itu merupakan kereta yang dipandu oleh penuntut kolej swasta Moey Yun Peng, 20, selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang pada pukul 2.54 pagi, semalam.

Kereta itu berjaya ditemukan pada pukul 4.00 petang tadi di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sebelum sebuah kren berkapasiti tinggi tiba di lokasi kejadian pada kira-kira pukul 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut.

— BERNAMA