Home Akhbar Cina Tak mempengaruhi atau dipengaruhi – Tun Arifin

Tak mempengaruhi atau dipengaruhi – Tun Arifin

Tun Arifin Zakaria

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata, beliau tidak pernah menelefon kepada hakim lain untuk mengarahkan mereka membuat keputusan tertentu.

Selain tidak mempengaruhi keputusan hakim lain, Arifin yang bakal bersara pada akhir bulan ini juga menegaskan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam proses perbicaraan.

“Kami bukan bertanggungjawab kepada Perdana Menteri, tetapi kami bertanggungjawab kepada penghakiman yang dibuat,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.

Arifin berkata, walaupun orang lain berkata-kata mengenai pelbagai perkara, tetapi ia tidak akan menyebabkannya bersedih kerana apa yang penting ialah menghakim berdasarkan keadilan, bukti dan undang-undang.

Beliau bagaimanapun berpendapat orang ramai harus menilai seseorang hakim berdasarkan penghakiman bertulis yang dibuatnya.

Menurutnya lagi, hakim membawa identiti yang sensitif dan harus mengelakkan pergaulan berlebihan dengan pihak yang mempunyai kepentingan.

“Hakim boleh bersosial, tetapi ia harus dijalankan secara berhati-hati. Kalau ada kes esok, maka tidak sesuai untuk bertemu dengan pihak yang mempunyai hubungan dengan kes.

“Walaupun anda mungkin saksama, tetapi orang lain mungkin melihatnya dari sudut yang lain. Oleh itu harus berhati-hati,” katanya.

Menurut Arifin lagi, tidak sesuai untuk seorang hakim bergaul secara berlebihan dengan peguam sehingga melancong secara bersama.

Tambah Arifin, sifat penyabar juga harus dimiliki kerana hakim yang sering memotong percakapan peguam atau enggan memberi masa berhujah yang mencukupi bukanlah hakim yang baik.

Katanya, ada hakim yang rela mengalami potongan gaji sehingga 70 peratus berbanding menjadi peguam kerana mereka mahu berkhidmat kepada negara.

“Malaysia mempunyai kira-kira 30 juta orang, tetapi hanya terdapat 150 orang pesuruhjaya kehakiman yang bertugas di Mahkamah Tinggi ke atas,” katanya. – MalaysiaGazette