Home Politik Teruja sampai tak tidur malam – Calon bebas

Teruja sampai tak tidur malam – Calon bebas

Wong Seng Yee
Calon bebas, Wong Seng Yee bercakap kepada media ketika hadir pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Balai Polis Brinchang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 22 JANUARI 2019.

BRINCHANG – Calon bebas, Wong Seng Yee yang menggunakan simbol cangkul dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands mengakui sukar tidur malam menanti hari mengundi awal, hari ini.

Seng Yee berkata, beliau berasa teruja kerana pertama kali menjadi calon pilihan raya bagi mewakili masyarakat pekebun dan orang asli di kerusi P078 itu.

“Pagi ini saya datang ke sini untuk melihat sendiri proses undi awal. Saya nampak suasana tenang.

“Walaupun Cameron Highlands sejuk tapi sekarang jadi panas sebab PRK ini.

“Bagi saya pertama kali (bertanding) sangat teruja semalam tak dapat tidur,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata di Balai Polis Brinchang, di sini, pagi ini.

Hari mengundi awal dalam PRK Cameron Highlands hari ini melibatkan 247 anggota polis yang layak mengundi.

Sebanyak dua pusat mengundi terlibat dalam proses mengundi awal hari ini iaitu di Balai Polis Brinchang bagi DUN Tanah Rata dan Balai Polis Sungai Koyan untuk DUN Jelai.

Seramai 232 anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi DUN Tanah Rata manakala 15 orang pula untuk DUN Jelai.

Seng Yee juga menyeru semua calon dan Parti yang bertanding agar berkempen secara sihat dan tidak menimbulkan ketegangan bagi lima hari berbaki sebelum hari pengundian penuh, Sabtu ini.

“Saya menyeru supaya semua calon dan penyokong parti menjaga keamanan sepanjang kempen ini.

“Saya harap PRK ini dapat dijalankan dengan sempurna, bersih dan amanah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang sesi debat terbuka antara calon-calon yang bertanding dalam PRK Cameron Highlands malam esok, Seng Yee bagaimanapun berkata beliau sudah membuat persiapan lebih awal.

“Untuk debat esok malam, saya sangat teruja sebab debat ini kali pertama dalam Malaysia (sewaktu pilihan raya).

“Ia platform sangat baik bagi calon bebas dan parti di mana mereka dapat berbahas dengan idea masing-masing jika dipilih nanti.

“Persiapan saya 100 peratus kecuali isu politik, saya tiada persediaan sebab saya bukan orang politik saya hanya seorang petani saja. Tapi saya cuba jawab segala soalan politik dengan sedaya upaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

+ posts