BRINCHANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan melayan tuntutan mana-mana pihak untuk melanjutkan tempoh mengundi di sesebuah tempat mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, cadangan itu boleh menjejaskan keselamatan peti undi khususnya bagi pusat mengundi dalam penempatan orang asli.
“Kita tak akan lanjutkan sebab perkara ini melibatkan keselamatan dan dari segi logistiknya agak bahaya kalau kita tutup lambat sebab kita terpaksa menggunakan helikopter dan sebagainya.
“Jadi saya tidak akan tutup (pusat mengundi) lebih lambat kerana masalah keselamatan,” katanya pada sidang media di pusat mengundi awal di Balai Polis Brinchang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, wujud usaha untuk mengurangkan peratusan keluar mengundi dalam PRK Parlimen Cameron Highlands apabila tempoh mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang dimenangi Barisan Nasional (BN) berakhir awal.
Annuar mendakwa, tempoh mengundi di sebahagian besar Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Jelai terlalu singkat dan ada yang ditamatkan seawal pukul 1 petang.
Azhar juga menegaskan, beberapa pusat mengundi yang ditutup awal pada 26 Januari ini tidak akan menjejaskan peratusan keluar mengundi.
“Perkara ini telah berlaku dari dulu lagi, pada PRU14 pun kita tutup awal tetapi jumlah pengundi pada tempat-tempat tersebut (pos orang asli) sehingga 80 peratus.
“Saya rasa ia tidak akan menjejaskan pengundi di tempat-tempat tersebut,” katanya.
Ketika ditanya tentang SPR didakwa tidak mempedulikan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya, Azhar bagaimanapun berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
“Kita sudah buat terdaya mengikut kuasa sedia ada di bawah undang-undang yang diberikan kepada SPR, semuanya saya telah buat, termasuk beri maklumat kepada SPRM dan pihak polis.
“Nasihat pun saya telah keluarkan, amaran pun saya telah keluarkan, akujanji pun telah saya berikan dan ditandatangani oleh semua pihak (calon), itu saja saya boleh buat,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan SPR, mereka boleh meminta ahli-ahli Parlimen meminda undang-undang sedia ada agar badan itu diberi kuasa lebih untuk menangkap pesalah kempen pilihan raya.
“Kalau ada pihak yang inginkan saya buat lebih, menyiasat atau menangkap dan sebagainya, saya rasa mereka yang berkata sedemikian sepatutnya pergi ke Parlimen dan menyuruh ahli Parlimen meluluskan undang-undang baharu.
“Ini kerana undang-undang sekarang tiada peruntukan sedemikian. Sekiranya undang-undang itu memberi kuasa kepada saya, saya akan laksanakan itu tugas saya.
“Sekarang saya laksanakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette