PETALING JAYA – Perbicaraan kes pelakon dan pengarah terkenal Datuk Farid Kamil Zahari yang didakwa menampar anggota polis trafik hari ini ditangguhkan berikutan peguam yang mewakili Farid Kamil mengalami kemalangan jalan raya.
Peguam Meor Amir Meor Omar Baki, yang menyebut bagi pihak peguam Megat Syazlee Mokhtarom, memaklumkan demikian ketika kes itu disebut untuk sambung bicara di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.
“Peguam Farid Kamil, Megat Syazlee telah terlibat kemalangan, beliau patah tangan, mohon tarikh perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan,” katanya dan menambah Megat Syazlee perlu menjalani pembedahan dan beliau memohon tarikh sebutan baharu bagi memaklumkan lebih lanjut keadaan Megat Syazlee.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran tidak membantah dan memohon mahkamah merekodkan kehadiran seorang pegawai perubatan sebagai saksi pendakwaan kelima yang sepatutnya memberi keterangan hari ini.
Mahkamah menetapkan 31 Jan untuk sebutan kes itu.
Meor Amir bagaimanapun memohon kehadiran Farid Kamil dikecualikan pada sebutan kes tersebut namun Nor Ariffin menolak permohonan itu dan memberitahu Farid Kamil perlu hadir bagi memudahkan penetapan tarikh perbicaraan yang baharu selain pelakon itu mempunyai satu lagi perbicaraan berhubung kes dadah pada hari sama.
Ketika ditemui pemberita di luar bilik bicara, Meor Amir berkata Megat Syazlee mengalami kemalangan pada Ahad lalu ketika dia sedang menunggang motosikalnya dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Farid Kamil, yang kelihatan ceria dan ramah pula mengucapkan terima kasih kepada wartawan kerana sentiasa membuat liputan dan mengikuti perkembangan kesnya.
Pada 16 Jan tahun lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
— BERNAMA