KUALA LUMPUR – Gabungan Pakatan Harapan (PH) mendakwa mampu untuk bersatu menentang Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14), kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
“Kita akan ada perbincangan (dengan semua parti pembangkang). Pertemuan baik dengan semua parti dan kita mahukan pembangkang dapat bersatu dalam menentang BN.
“Saya optimis sebab populariti Najib jatuh 20 peratus. Maka kita mahu kembalikan kegemilangan Malaysia, menyelamatkan masa depan dan dalam semangat itu kita lihat secara positif semua kenyataan dikeluarkan dan saya amat mendokong maklum balas yang dikeluarkan ketua pembangkang dalam meraikan semua komponen dalam PH,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di lobi Parlimen hari ini.
Nurul Izzah berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya gabungan pembangkang perlu mengikut cara BN sekiranya mahu menang pada PRU14 nanti.
Mahathir mengakui rahsia kemenangan BN berkait rapat dengan kekuatan barisan berkenaan sebagai sebuah gabungan malah tidak ada perpecahan dalam parti komponen walaupun ada kala terdapat perbezaan pendapat membuatkan BN masih diterima rakyat.
“Kalau mereka (BN) cantum diri mereka dalam satu gabungan dan bertindak bersama dengan satu matlamat, barulah boleh mencapai kejayaan. Inilah rahsia parti Perikatan dan kemudian BN.
“Rahsianya, mereka mempunyai 13 buah parti tetapi mereka tidak ada perpecahan di kalangan mereka dalam satu usaha untuk memenangi pilihan raya. Mungkin ada perbezaan pendapat antara MCA dengan (Yayasan) NAAM, MIC dengan PPP atau lain-lain, tetapi semua itu diketepikan,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu majlis di Gemas kelmarin.
Tambah Mahathir lagi, keadaan itu berbeza dengan pakatan pembangkang yang tidak pernah bersatu secara serius, sebaliknya lebih suka menonjolkan parti masing-masing.
Setiap parti dalam pakatan yang berlawan dengan BN pada pilihan raya masih membawa imej serta simbol masing-masing, malah sebenarnya tidak mempunyai perpaduan yang rapat antara mereka, katanya. -MalaysiaGazette.