Home Nasional Kadar tarif air belum capai kata putus

Kadar tarif air belum capai kata putus

Xavier Jayakumar
Menteri Air, tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar (tiga kiri) bersama Pengerusi Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Amiruddin Abdul Aziz (kiri) semasa membuat lawatan kerja rasmi di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan pusat dan negeri masih berbincang mengenai penetapan tarif air yang naik di beberapa buah negeri.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, secara umum, semua negeri bersetuju dengan kenaikan tersebut.

“Cuma yang melibatkan perbincangannya ialah soal berkaitan kadar tarif air yang perlu diperkenalkan oleh beberapa buah negeri.

“Kajian mengenai tarif air sudah dimulakan sejak tahun lepas dengan mengadakan perbicangan bersama pelbagai agensi sebelum memuktamadkannya.

“Namun sehingga kini belum mencapai sebarang kesimpulan dalam soal kadar tarif air ini,” katanya pada sidang media selepas melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 di Pantai Dalam hari ini.

Menurutnya, ia merupakan proses berterusan yang diadakan kementerian dengan beberapa buah negeri yang masih belum menyatakan persetujuan mengenai kadarnya.

Justeru tambah beliau, pihaknya mempunyai formula berkesan untuk menetapkan kadar tarif air yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat.

“Persetujuan negeri untuk menaikkan kadar sudah ada cuma berapa kadarnya belum mencapai persetujuan muktamad,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Xavier menjelaskan, kementeriannya sedang meneliti caj pembetungan kumbahan Indah Water Konsortium yang tidak dinaikkan sejak 25 tahun lalu.

“Wujud keperluan untuk kementerian menelitinya tarif pembetungan IWK sebab 25 tahun kadarya sama tanpa kenaikan.

“Biar kami kaji dan tampil dengan laporan terperinci,” katanya lagi.

Dalam pada itu Xavier turut mengesahkan bahawa kerajaan mencari kaedah untuk menambah baik loji dan paip-paip loji usang yang perlu diselenggara dan ditukar di negeri lain.

Loji moden di Pantai Dalam adalah loji rawatan kumbahan bawah tanah yang pertama di Malaysia dan terbesar di rantau Asia Pasifik dengan kapasiti 1.4 juta penduduk setara.

Ia turut mengaplikasi teknologi hijau seperti sistem penuaian air hujan, penggunaan biofluen, penggunaan biogas dan panel solar menguruskan operasi loji moden tersebut tetapi bukan untuk tujuan minuman.

“Di atas loji ini, atas tanah seluas 12 hektar disediakan landskap hijau untuk mesra pengguna iaitu taman rekreasi, trek joging dan bersenam bernama Pantai Eco Park dengan kemudahan gelanggang futsal, padang bola dan badminton.

“Harap penduduk sekitar menggunakannya demi manfaat tanpa melihat ia sebagai loji kumbahan semata-mata.

“Saya juga berharap sektor perkilangan turut mencontohi IWK menggunakan semula sisa kumbahan sebagai sumber alternatif yang mampan demi pengurusan air yang bersepadu,” katanya. – MalaysiaGazette