Home Dunia Anak Guzman bunuh wartawan

Anak Guzman bunuh wartawan

Joaquin, "El Chapo" Guzman. foto Agensi

NEW YORK – Anak lelaki raja dadah Mexico, Joaquin, “El Chapo” Guzman, telah membunuh seorang wartawan yang terkenal dengan liputan kartel dadah, menurut seorang saksi.

Damaso Lopez Nunez, seorang bekas penasihat utama Guzman, membuat dakwaan itu Mahkamah Persekutuan Brooklyn semasa pemeriksaan balas oleh salah seorang peguam tertuduh.

Peguam, Eduardo Balarezo, telah menyoal Lopez sama ada anaknya sendiri, Damaso Lopez Serrano, mungkin terlibat dalam pembunuhan Javier Valdez pada Mei 2017.

Valdez adalah pengasas akhbar online RioDoce dan penulis buku “Narcoreporting” mengenai bahaya yang dihadapi wartawan ketika meliputi perang dadah di Mexico.

Pembunuhan beliau menimbulkan bantahan awam mengenai keganasan kartel.

Pada tahun lalu, RioDoce melaporkan bahawa Lopez Serrano mungkin berada di belakang pembunuhan itu.

Guzman, 61, diekstradisi ke Amerika Syarikat pada tahun 2017 dan telah dibicarakan sejak bulan November tahun lalu atas dakwaan menyeludup kokain dan lain-lain dadah ke Amerika Syarikat sebagai ketua kartel Sinaloa.

Tetapi peguamnya mendakwa, Guzman telah dibayangi oleh penyeludup dadah yang lebih berkuasa, Ismael ‘El Mayo” Zambada.

Lopez bagaimanapun tidak maklumkan siapa yang membunuh Valdez tetapi dia telah memberi keterangan bahawa empat individu – Ivan, Alfredo, Ovidio dan Joaquin – terlibat dalam kartel itu.

Terdahulu, Lopez memberitahu isteri Guzman, Emma Coronel, memainkan peranan penting dalam merancang melarikan diri suaminya dari penjara Mexico pada tahun 2015.

Malah Emma juga cuba membantu dia melarikan diri setelah ditahan semula pada tahun berikutnya.

Lopez memberitahu juri semasa Guzman ditahan di penjara Altiplano Mexico pada tahun 2014 dan 2015, dia merancang membebaskan Guzman bersama-sama anak-anak Emma.

Dia juga menjadi pengantara mesej antara Emma dan Guzman.

Lopez berkata, anak-anak itu membeli sebidang tanah berhampiran penjara yang boleh menembusi ke dalam sel Guzman.

Guzman melarikan diri melalui terowong berkenaan yang disiapkan pada tahun 2015.

Tetapi Guzman ditangkap semula pada Januari 2016.

Mereka cuba untuk melarikan Guzman tetapi pelan itu digagalkan ketika Guzman dipindahkan ke penjara lain di Ciudad Juarez, kata Lopez.

Usaha merasuah sejumlah AS$ 2 juta kepada pejabat penjara nasional untuk membebaskan tertuduh tidak berhasil.- MalaysiaGazette