CAMERON HIGHLANDS – Kempen Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands menjadi sedikit riuh pada Rabu apabila pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bertembung dengan sukarelawan kempen antipemansuhan hukuman mati.
Sukarelawan terdiri daripada anggota Pemuda MCA itu cuba mendekati Kit Siang untuk memintanya menandatangani dokumen membantah pemansuhan hukuman mati.
Namun begitu, Kit Siang enggan melayan sukarelawan tersebut manakala penyokong DAP juga menghalang mereka menghampiri Ahli Parlimen Iskandar Puteri tersebut.
Sinchew Daily melaporkan, ketika slogan antipemansuhan hukuman mati dilaungkan, penyokong DAP pula mengucapkan “Gong Xi Fa Cai” sebagai balasan.
Walaupun keadaan sedikit kecoh, tetapi ia berakhir tanpa insiden tidak diingini dengan kedua-dua pihak meneruskan kempen masing-masing.
Sebagai rekod, Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh pernah menandatangani dokumen membantah pemansuhan hukuman mati ketika beliau menyertai kempen di Cameron Highlands.
Boon Poh bagaimanapun menjelaskan beliau terpedaya dan diperalatkan kerana tidak tahu kempen itu diadakan oleh Pemuda MCA.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong mempertahankan kempen antipemansuhan hukuman mati dan menyatakan ia sebagai gerakan sukarela yang dipolitikkan DAP.
Katanya lagi, DAP cuba mengelak daripada isu Kerajaan Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan hukuman mati. – MalaysiaGazette