KUALA LUMPUR – Pas Selangor hari ini menuduh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen cuba membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini dengan menyatakan kemasukan guru-guru agama ke negeri itu akan mengganggu gugat keharmonian antara kaum di Sarawak.
Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman menuduh DAP sebagai anti Islam kerana menolak guru pendidikan agama Islam dari Semenanjung Malaysia untuk mengajar di Sarawak.
Justeru, katanya tidak mustahil sikap anti Islam DAP akan diperluaskan sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menakluk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.
“Ini memberi gambaran sikap sebenar DAP dan sekutunya apabila berjaya menawan Putrajaya kelak.
“Jika DAP diberi peluang kelak, perbalahan agama boleh tercetus. Dan kita yakin semua masyarakat termasuk Tiong Hua tidak bersetuju dengan provokasi DAP ini.
“Kita mintak DAP jangan bermain isu agama dan perkauman kerana boleh mengundang suasana yang tidak elok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Chieng Jen dalam satu ucapan di dalam Dewan Rakyat berkata dengan membawa masuk guru agama ‘import’ yang ‘sempit’ pemikiran dari Semenanjung, ia akan hanya mengganggu keharmonian antara kaum di Sarawak.
DAP katanya dilihat tidak pernah cuba berbaik-baik dalam isu agama Islam sedang mereka sedar agama Islam adalah agama Persekutuan. -MalaysiaGazette