KUALA LUMPUR – Permintaan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli yang mahu rakyat menerima kenaikan tarif air tanpa bantahan adalah tindakan yang memalukan.
Apatah lagi, kerajaan Pakatan Harapan sering melaungkan slogan kepedulian rakyat.
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menempelak ahli politik yang didakwa hanya pandai bercakap dan mengkritik sahaja.
“Tetapi kebolehan itu sahaja tidak cukup untuk mengurus sumber ekonomi dengan bijak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan menterinya, Dr. Xavier Jayakumar yang mahu rakyat perlu melihat keputusan menaikkan tarif air sebagai satu tanggungjawab dan mereka wajar menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan.
Menteri itu berkata, kos utiliti air yang ditanggung kini adalah sangat tinggi dan semua itu menggunakan peruntukan kerajaan.
Tegas Abdul Khalid, tanggungjawab itu memerlukan pemahaman serta komitmen untuk mengambil langkah-langkah bijak bagi memastikan rakyat mendapat pulangan terbaik.
“Kerajaan yang jujur akan meletakkan kepentingan rakyat dari awal perancangan dan bukannya hanya mengikut rentak dan telunjuk ahli korporat.
“Namun, jika ahli politik memilih untuk mengambil langkah sumbang, mengapa rakyat pula yang perlu berkorban dan bergolok bergadai?” soal beliau. – MalaysiaGazette