Home Nasional Seramai 811 petugas SPR kendali pusat mengundi 

Seramai 811 petugas SPR kendali pusat mengundi 

Azhar Azizan Harun
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun (tengah) bersama setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (dua kiri) ketika membuat lawatan proses semakan isi peti undi dan serahan peralatan kepada petugas SPR sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 25 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Seramai 811 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan ditugaskan untuk mengendalikan proses pengundian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, esok.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, kesemua petugas SPR itu akan ditempatkan di 29 pusat mengundi membabitkan 86 saluran yang akan mula dibuka untuk pengundian esok.

“Hari ini SPR telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya dan sebagainya untuk kegaunaan bagi proses pengundian yang akan dijalankan esok.

“Semakan ini untuk memastian semua peralatan dan kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan dalam keadaan baik.

“SPR berharap semua pengundi  dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengundi,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata hari ini.

Terdahulu Azhar Azizan membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah yang menjadi pusat pengagihan peralatan dan kelengkapan serta pusat penjumlahan undi bagi PRK Cameron Highlands.

Esok merupakan hari membuang undi bagi PRK Cameron Highlands yang membabitkan 31,639 pengundi layak dan berdaftar dengan SPR.

Pilihan raya bagi kawasan kerusi P078 itu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru membabtikan calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor; calon Pakatan Harapan (PH), M.Manogaran dan dua calon bebas iaitu Sallehuddin Abd Talib dan Wong Seng Yee.

Pada 30 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang dimenangi calon BN, Datuk C.Sivarrajh adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Dalam penghakimannya, Azizah berpandangan pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi. – MalaysiaGazette