Home Nasional MySalam tak selari prinsip perlindungan kesihatan sejagat

MySalam tak selari prinsip perlindungan kesihatan sejagat

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memuji skim insurans B40 atau mySalam yang diperkenalkan kerajaan bagi menambah baik akses perkhidmatan kesihatan.

Katanya, umum tahu perkhidmatan kesihatan sangat diperlukan, lebih lagi bagi golongan B40 yang memerlukan perhatian kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup mereka.

Bagaimanapun, beliau percaya isu berhubung skim itu serta sistem penjagaan kesihatan negara secara keseluruhannya, mesti ditangani dengan baik.

“Skim insurans B40 ini tidak sepenuhnya selari dengan prinsip perlindungan kesihatan sejagat yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Piagam WHO 1948 mengisytiharkan kesihatan sebagai hak asasi manusia yang menggarapkan tiga matlamat utama berkaitan dengan kesamarataan akses kepada perkhidmatan kesihatan agar berada dalam keadaan cukup baik.

“Rakyat juga perlu dilindungi daripada risiko kewangan dengan memastikan kos menggunakan perkhidmatan tersebut tidak akan mendedahkan mereka kepada risiko kewangan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, berdasarkan prinsip itu, mySalam tidak insklusif memandangkan ia hanya merangkumi 3.69 juta orang dari kumpulan B40.

Beliau mempersoalkan bagaimana dengan kelompok M40 yang turut berdepan dengan kekangan kewangan dalam mendapatkan perkhidmatan kewangan.

Katanya, menurut Laporan Financial Stability and Payment Systems 2017 oleh Bank Negara Malaysia, sebanyak 3.9 juta golongan dewasa bekerja dari kelompok B40 tidak mempunyai perlindungan insurans.

Malah, ujar beliau, kadar pemilikan insurans seluruh negara dalam kalangan B40 hanyalah sekitar 56 peratus.

“Jadi, adakah ini bermakna kerajaan hari ini mengabaikan keperluan golongan M40 dalam mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan melalui skim mySalam?

“Sudah pasti golongan M40 akan sangat terkesan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan dan sebarang perlindungan kesihatan yang diterima dari majikan selama ini.

“Malah, mereka yang bekerja sendiri tidak mempunyai perlindungan daripada risiko kewangan akibat kos perubatan yang tinggi, sekali gus menggandakan kesan yang diterima mereka terutama semasa kegawatan ekonomi,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, banyak pihak dan pemegang taruh telah menyuarakan pandangan bahawa skim insurans yang menyasarkan kepada sesetengah kelompok sahaja mungkin tidak akan bertahan dalam tempoh jangka masa panjang.

Malah, menurutnya, skim itu dipadankan juga dengan beberapa peruntukan yang mungkin akan lebih meningkatkan lagi kos penjagaan kesihatan.

“Di peringkat makro, persoalan timbul. Mengapa kerajaan beralih dari tanggungjawab asasnya dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan sebaliknya memfokuskan kepada memberikan skim insurans?

“Seperti ditegaskan WHO, kualiti perkhidmatan kesihatan adalah sama pentingnya dengan akses kepada perkhidmatan ini.

“Oleh itu, saya menyarankan kepada Kementerian Kesihatan untuk lebih memfokuskan kepada pelaburan yang akan menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan yang seterusnya membawa lebih banyak manfaat langsung dan tidak langsung,” ujarnya.

Kata beliau, rakyat memerlukan hospital yang boleh meningkatkan nilai penjagaan kesihatan dan memberikan kesan lebih baik, tanpa mengira tahap pendapatan.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan wad yang sesak dan kakitangan kesihatan yang terpaksa bekerja dalam tempoh sangat panjang. Kita perlu menangani dan menguruskan isu penting seperti perbelanjaan kesihatan yang digunakan bagi setiap perkhidmatan serta menambah baik nisbah doktor kepada saiz populasi.

“Malah, skim mySalam ini sudah pastinya akan menggalakkan lebih ramai pesakit dan tenaga pakar untuk pergi ke sektor swasta, sekali gus secara tidak langsung akan melemahkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia. – MalaysiaGazette

Tun M Lancar Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam