Home Nasional PLUS tanggung kos pasang AES, kutipan saman tak dibahagi dua

PLUS tanggung kos pasang AES, kutipan saman tak dibahagi dua

, Anthony Loke

PETALING JAYA – Kerajaan tidak akan terlibat dalam mengeluarkan perbelanjaan sekiranya pemasangan kamera had laju (AES) di Jambatan Pulau Pinang dilaksanakan.

Kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kos sepenuhnya akan ditanggung oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Bagaimanapun katanya, cadangan yang disuarakan oleh syarikat konsesi lebuh raya itu masih belum dimuktamadkan oleh kementerian kerana perbincangan lebih lanjut perlu dilakukan.

“Itu cadangan PLUS yang kita akan kaji. Memang PLUS ada buat perbincangan dengan kita. PLUS sanggup membelanjakan kos memasang AES tanpa mengenakan kos kepada kerajaan.

“Tapi kamera itu dan sistemnya sudah tentu perlu dikendalikan oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan). (Kami) masih berbincang,” katanya pada sidang media di Kelana Jaya hari ini.

Lokasi dan jumlah kamera akan ditentukan oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), kata Anthony lagi.

Malah menurut beliau, kutipan saman juga tidak akan dibahagikan sama rata kepada PLUS.

“PLUS akan bertanggunggjawab (kos). Kalau dulu kita (kerajaan) akan kongsi kutipan saman dengan PLUS. Kali ini, PLUS akan buat (pemasangan kamera) untuk CSR mereka dan tanggung kos tapi tidak akan dapat satu sen daripada pihak kerajaan,” kata Anthony lagi.

Anthony menegaskan, tindakan memasang kamera AES jika terlaksana kelak adalah inisiatif untuk mengurangkan kemalangan  jalan raya bukan tindakan kerajaan untuk mengutip saman.

“Jangan ada pihak nak kata, kita suka hati hendak kutip saman sebab ada pertimbangannya terutama sebab kawasan panas kemalangan bukan untuk kutip saman tapi beri amaran supaya kurangkan kelajuan,” tambahnya.

PLUS pada 22 Januari yang lalu memaklumkan akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk memasang kamera AES di Jambatan Pulau Pinang selain menambah kamera itu di beberapa lokasi lain di enam lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, buat masa ini Jambatan Pulau Pinang tidak mempunyai kamera had laju dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan berlaku.-MalaysiaGazette