RAUB – Datuk Seri Najib Razak aktif dalam media sosial sehingga dikenali sebagai Raja Troll kerana sengaja meraih simpati rakyat.
“Dia (Najib) tuduh dia kena aniaya tapi dulu masa dia jadi PM (Perdana Menteri) belum caj apa apa pakai baju oren, (Datuk Seri) Shafie Apdal juga belum didakwa apa-apa tapi orang lain semua kena wajib pakai baju oren (baju reman SPRM).
“Namun kita beri kelonggaran untuk dia (Najib)..sudah beberapa bulan dicaj di mahkamah tapi dia bebas cakap bermacam-macam cari sokongan.
“Jadi, anda fikirkan dan lihat sendiri sama ada hendak percaya atau tidak. Dia curi duit tapi dia tidak boleh nafi curi duit,” tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu semasa ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Sungai Koyan hari ini.
Dalam pada itu, Mahathir menyifatkan calon PH, M. Manogaran adalah calon pilihan tepat untuk PRK Parlimen Cameron Highlands menjelang hari mengundi esok.
Perdana Menteri itu berkata, calon DAP itu bukan keseorangan sebaliknya seluruh kepimpinan dan jentera PH berada di belakangnya untuk memenangkan beliau dalam pertembungan empat penjuru kali ini.
“Dia (Manogaran) calon tepat pilihan PH dan bukan disalah pilih bertanding di kawasan pengundi majoriti Melayu bumiputera.
“Kadang-kadang tempat lain orang India terpaksa sokong orang Melayu, di sini orang Melayu sokong orang (calon) India tapi kalau kita tak sokong di tempat lain, mereka tak sokong kita maka kita akan kalah,” katanya.
Terdahulu beliau bertemu lebih 1,000 Orang Asli sebagai kempen meraih sokongan untuk calon PH menjelang hari mengundi esok.
Ditanya peluang untuk calon PH merampas kerusi milik BN itu sejak tahun 2004, Mahathir berkata, berdasarkan kehadiran lebih 1,000 pengundi Orang Asli hari ini, beliau melihat terdapat harapan untuk menang.
“Kita yakin dapat sokongan penduduk Sungai Koyan dan Cameron (Highlands) dan akan buat yang terbaik,” katanya.- MalaysiaGazette
[…] Sumber Berita MalaysiaGazette […]