Home Nasional UiTM siasat dakwaan kebocoran maklumat pelajar, alumni

UiTM siasat dakwaan kebocoran maklumat pelajar, alumni

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku kakitangannya terhadap kebocoran maklumat peribadi pelajar dan alumni universiti itu.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Hassan Said berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara itu benar-benar terjadi.

“Tangkapan skrin yang dipaparkan dalam sebuah laman blog hari ini telah menunjukkan format maklumat yang tidak digunapakai atau dijana dari mana-mana sistem dalaman di UiTM.

“Ini menunjukkan bahawa maklumat tersebut telah diolah dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seterusnya mengesahkan bahawa maklumat tersebut adalah bukan dijana terus dari sistem UiTM ekoran daripada pengodaman.

“Oleh yang demikian UiTM terus yakin bahawa sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat dan boleh dipercayai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hassan berkata, pihaknya sentiasa memandang serius mengenai keselamatan teknologi maklumat universiti itu dan mempunyai satu dasar keselamatan ICT yang komprehensif serta menyeluruh.

Katanya, Ia merangkumi pelbagai komponen termasuk perlindungan maklumat rahsia rasmi dan maklumat rasmi dari capaian tanpa kuasa yang sah.

Tambah beliau, tahap keselamatan maklumat UiTM diyakini setaraf dengan badan dan organisasi setara yang lain di Malaysia dan ia dibuktikan dengan penerimaan pensijilan ISMS (Information Security Management System) ISO 27001:2013 oleh SIRIM QAS International Berhad pada 14 Januari lalu.

Laman teknologi, Lowyat.net hari ini melaporkan, data yang bocor itu membabitkan pelajar dari kampus utama iaitu di Shah Alam dan 13 lagi kampus seluruh negara. Turut terjejas pelajar yang sudah mendaftar untuk kursus-kursus UiTM bertauliah di kolej-kolej luar.

Antara kolej yang terjejas adalah Kolej INPENS, Kolej Yayasan Terengganu, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Institut Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Kolej UNITI, Kolej Chermai Jaya, Kolej Lagenda Langkawi and Institut Teknologi Perak.

Maklumat peribadi yang dikatakan bocor membabitkan ID pelajar, nama pelajar, nombor kad pengenalan, alamat, email, kod di kampus, nama kampus, kod program, tahap kursus dan juga nombor telefon bimbit.

Laporan yang memetik sumber itu menyatakan, pencerobohan data ini berlaku antara Februari dan Mac tahun lalu. – MalaysiaGazette