TANAH RATA – Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membenarkan mana-mana calon bertanding namun tidak membuang undi di kawasan bertanding merupakan satu kesilapan besar kepada rakyat.
Bekas Presiden MyPPP, Tan Sri M.Kayveas berkata, kerajaan hari ini perlu memperbetulkan keadaan ini dan sepatutnya mengenakan syarat baharu supaya calon perlu dipersetujui komuniti sebelum dibenarkan bertanding.
“Ini satu kesilapan dalam sistem kita, harap lain kali atau kerajaan sedia ada dan SPR sekarang ini oleh cari satu jalan macam mana dalam masa depan calon itu daripada komuniti yang akan undi daripada tempat itu.
“Calon mesti orang yang layak diundi di tempat itu, kalau bawa calon dari tempat lain, dia menang pun tak guna.
“Ini kerana dia tidak akan menggunakan sepenuh masanya di kawasan ini, dia akan guna masa dia di lain-lain tempat,” katanya pada sidang media selepas membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Hari pembuangan undi bagi PRK Cameron Highlands hari ini menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor dan calon Pakatan Harapan (PH) M.Manogaran antara dua calon yang tidak membuang undi di kerusi P078 itu.
Sebaliknya hanya calon Bebas sahaja yang membuang undi dalam PRK Cameron Highlands iaitu Sallehuddin Abd Talib di Sekolah Kebangsaan Sungai Koyan dan Wong Seng Yee di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Brinchang.
Kayveas juga berkata, meskipun beliau dihalang daripada menjadi calon mewakili partinya MyPPP, namun bekas Presiden MyPPP terbukti anak tempatan apabila beliau layak mengundi di salah satu pusat mengundi di sini.
“Malangnya sistem kita macam itu, ada banyak negara maju dia punya sistem, salah satu calon perlu dipilih oleh komuniti sebelum dia dicalonkan
“Dia beri peluang kepada komuniti dulu tengok siapa layak, siapa boleh kerja, siapa ada di kawasan siapa dia boleh nampak selalu, boleh minta bantuan, nasihat daripada calon.
“Di sini kita ada keadaan lain dan harap kita akan berubah dan perubahan banyak berlaku sekarang ini harap kerajaan baru dapat ubah cara undi dan cara memilih calon untuk sesuatu tempat tertentu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette