Home Nasional Manogaran minta maaf kerana tidak perasan pakai baju logo parti

Manogaran minta maaf kerana tidak perasan pakai baju logo parti

Calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, M Manogaran memohon maaf kepada semua pihak berhubung pemakaian baju berlogo parti ketika masuk ke pekarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut pagi tadi.

KUALA LIPIS – Calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, M Manogaran memohon maaf kepada semua pihak berhubung pemakaian baju berlogo parti ketika masuk ke pekarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut pagi tadi.

Manogaran, 61, mendakwa beliau tidak perasan memakai baju berlogo parti itu kerana telah menjadi kebiasaan memakai baju rasmi serta tiada niat untuk mencabar akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya minta maaf, ini bukan satu isu. Kita patuhi undang-undang, saya minta maaf atas perkara yang tidak disengajakan itu.

“Saya memang tidak perasan, sebab 2 minggu saya pakai macam itu. Ia tidak ada maksud tertentu dan saya tidak bercakap dengan pengundi, jadi ia bukan isu,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke pusat pengundian di SK Betau petang ini.

Mengikut peraturan SPR, mana-mana individu tidak dibenarkan memakai logo parti dalam jarak 50 meter daripada pusat mengundi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai isu pemberian hamper kepada pengundi di suatu kawasan malam tadi yang tular di media sosial, Manogaran mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai isu terbabit dan akan menyiasat perkara itu.

“Saya berada di perkampungan Orang Asli malam tadi dan hanya diberitahu pagi ini. Saya perlu mengetahui perkara sebenar sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemangku timbalan presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoal tindakan Manogaran memakai baju berlogo parti yang disifatkannya sebagai sengaja mencabar akta SPR.

Beliau berkata, tindakan itu bertentangan dengan akta SPR tetapi dibuat oleh calon PH bersama jenteranya bermula sejak penamaan calon sehingga ke hari ini.

Ini katanya termasuklah perbuatan seperti pemberian duit minyak, penggunaan kenderaan kerajaan, pemberian sumbangan dan bantuan secara terbuka serta ugutan terhadap tok batin Orang Asli.

“Lebih malang lagi calon (PH) itu ke tempat pengundian dengan logo (parti), sedangkan itu jelas dalam akta SPR tidak ada logo pun boleh berada dalam lingkungan 50 meter dari tempat pengundian dan dia (Manogaran) berada dalam pusat pengundian.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan PH hari ini tidak mempedulikan peraturan serta undang-undang dan buat sesuka mereka walaupun bantahan dan laporan polis dibuat sejak mula (kempen),” katanya ketika ditemui di luar pekarangan pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau di sini hari ini, yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor.

Sementara itu, Ramli turut kecewa dengan tindakan calon PH tersebut yang tidak peka dengan akta SPR, walhal calon itu sudah 3 kali bertanding dalam pilihan raya.

“Dia lebih berpengalaman daripada saya. Saya baru pertama kali (bertanding). Jadi sekarang, saya biarkan orang ramai menilai,” katanya.

— BERNAMA