KAHERAH – Mesir akan membuka lapangan terbang antarabangsa baharu di pinggir ibu negara untuk tempoh percubaan dalam usaha mengurangkan kesesakan lapangan terbang utama di Kaherah selain membantu merancakkan industri pelancongan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sphinx, terletak berhampiran Piramid Giza dan Muzium Utama Mesir yang baharu dijangka mengendalikan 30 penerbangan pada awal bulan depan semasa tempoh percubaan itu, lapor Reuters.
Projek dengan kos AS$17 juta itu merupakan sebahagian daripada perancangan Kementerian Pelancongan untuk menambah baik akses ke lokasi bersejarah dari kawasan pusat peranginan di Laut Merah seperti Sharm el Sheikh dan Hurghada. Lapangan terbang itu akan beroperasi sepenuhnya pada 2020.
Pengeboman pesawat syarikat penerbangan Rusia sebaik sahaja berlepas dari Sharm el Sheikh pada 2015 menyaksikan kejatuhan bilangan pelancong, trend yang berterusan bermula daripada demonstrasi ‘Arab Spring’ pada tahun 2011.
Pandapatan daripada pelancongan mula melonjak, naik 77 peratus, berbanding tahun ke tahun pada separuh pertama 2018 kepada AS$4.8 bilion sebelum serangan berdarah ke atas sebuah bas yang mengorbankan tiga warga Vietnam dan pemadu pelancong warga Mesir pada Disember lalu.
Ia merupakan serangan pertama yang mengorbankan nyawa pelancong asing di Mesir dalam tempoh setahun. – Agensi