KLUANG – Dakwaan kadar makanan sehari di sekolah berasrama penuh (SBP) dikurangkan adalah tidak benar.
Menafikan perkara tersebut, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kadar makanan sehari di SBP masih kekal.
“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia akan keluarkan kenyataan petang ini menafikan dakwaan atau fitnah tersebut.
“(Dan) saya berharap supaya Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan ‘homework’ sebelum keluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Ziarah Cakna di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Jalil, dekat sini, hari ini.
Maszlee secara sinis turut ‘mempelawa’ bekas Perdana Menteri itu untuk menggunakan masa yang terluang kini dengan mengajar murid-murid terutama di kawasan pedalaman.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib menerusi akaun Twitter miliknya yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah mengurangkan kadar makanan tersebut daripada RM18 kepada RM14.50 sehari.
Sementara itu, Maszlee berharap agar program Ziarah Cakna berupaya mengembalikan imej guru sebagai adiwira kepada anak-anak murid, ibu bapa serta masyarakat sekitar.
“Diharapkan dengan Ziarah Cakna seperti ini akan menjadikan guru dilihat sebagai superhero. Dulu perkara ini berlaku di kawasan kampung, perumahan, guru di mana sahaja dilihat sebagai hero. Ibu bapa hormat, masyarakat hormat, cikgu sendiri dilihat sebagai orang yang dihormati, kita ingin kembalikan,” katanya.
Program Ziarah Cakna juga bertujuan untuk memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan ibu bapa serta penjaga.
Program yang melibatkan 143 pejabat pendidikan daerah (PPD) seluruh negara, dijangka berlangsung sepanjang tahun ini. – MalaysiaGazette